X

Kindly register in order to view this article
!

Apabila anak muda terlebih kreatif

A
A

MELALUI kehidupan di muka bumi ini memaksa kita menyaksikan pelbagai peristiwa pahit manis yang menyentuh perasaan terutamanya apabila sesuatu peristiwa itu membabitkan anak-anak. Ada ketikanya ia mencetuskan rasa sedih, marah dan kecewa.

Anak-anak yang dahulunya berada dalam pelukan kini telah meniti usia remaja dan semakin meningkat dewasa tanpa kita sedari. Merekalah generasi yang bakal mewarisi ibu bapa dan harapan negara satu hari nanti.

Dengan arus pemodenan yang tidak dapat ditahan, cabaran membesarkan anak-anak pada zaman sekarang lebih hebat berbanding dahulu. Anak-anak di awal usia remaja pula ada sahaja onarnya. Mereka ini aktif, kreatif dan sentiasa tinggi tahap adrenalinnya. Mencuba sesuatu yang baharu dan pelik adalah kegilaan mereka. Antara trend terkini dalam kalangan anak-anak setahun jagung ini adalah menunggang basikal lajak.

Sebenarnya kecenderungan remaja menjadikan aktiviti menunggang basikal lajak sebagai satu hobi adalah sesuatu yang amat membimbangkan. Bagi penulis, peralihan minat remaja terhadap basikal lajak adalah untuk kepuasan dan keseronokan yang mampu meminimumkan tahap stres yang dialami oleh mereka. Stres yang mereka hadapi datangnya daripada persekitaran kehidupan yang sarat dan sesak dengan pembangunan. Kesesakan pembangunan di lokasi kediaman mereka sedikit sebanyak telah menyebabkan ruang untuk beriadah semakin terhad.

Kesesakan lokasi kediaman ditambah pula dengan ruang terhad di rumah berbanding dengan bilangan penghuni isi rumah yang ramai menyebabkan remaja selesa berada di luar rumah menghabiskan masa bersama-sama rakan sebaya.

Keadaan sosioekonomi yang tidak menentu dalam persekitaran kehidupan masa kini pula telah memaksa ibu dan bapa keluar bekerja. Apabila ibu dan bapa terpaksa keluar bekerja dan berada lama di luar rumah, kualiti masa terluang bersama anak-anak menjadi semakin berkurangan.

Situasi itu diburukkan lagi dengan pergantungan keterlaluan kepada gajet pintar dalam kalangan masyarakat dan remaja. Masa sedikit yang sepatutnya digunakan untuk bersama keluarga secara literalnya telah dicuri oleh besi keluli bernyawa itu.

Stres terhadap aspek sosio-ekonomi dan persekitaran kehidupan adalah antara punca mengapa minat remaja beralih kepada menunggang basikal lajak. Remaja merasakan suatu keseronokan dan kepuasan apabila mereka mampu beraksi menuruni bukit sambil mendepa tangan dan meniarap di atas basikal lajak.

Kegembiraan dan kebebasan sementara menghabiskan masa bersama rakan sebaya itu membantu mereka melupakan sebentar kacau-bilau di rumah, seterusnya meminimumkan rasa stres yang dialami.

Pengaruh rakan-rakan sebaya juga menjadi faktor penyumbang kepada minat menunggang basikal lajak. Anak-anak muda yang bagaikan lalang itu mudah terikut dengan situasi semasa. Jika baik situasinya, baiklah mereka dan begitulah sebaliknya. Justeru, kebiasaannya anak-anak itu akan menunggang basikal lajak serta melakukan aksi-aksi berbahaya secara berkumpulan.

Minat kepada basikal lajak dihangatkan lagi dengan kemunculan kedai-kedai yang memberi peluang kepada mereka mengubahsuai basikal sedia ada. Kebiasaannya, pengubahsuaian dibuat kepada pemegang dan rim basikal. Bagi yang terlebih kreatif, badan basikal ditebuk dan dimasukkan simen agar basikal menjadi lebih berat. Belanja mengubahsuai basikal menjadi basikal lajak yang paling murah biasanya ratusan ringgit, namun ada kalanya mencecah ribuan ringgit.

Hakikatnya, basikal lajak bukan ciri-ciri sebuah basikal yang selamat. Basikal yang sesuai dan selamat untuk ditunggang adalah basikal yang bercirikan ergonomik. Reka bentuk basikal ergonomik adalah cetusan idea bidang kejuruteraan yang boleh dimanfaatkan oleh manusia secara keseluruhannya.

Pengguna dan pembeli basikal boleh memilih sama ada mahu memiliki basikal lajak yang tidak cukup sifat basikalnya atau basikal yang benar-benar mempunyai ciri-ciri sebuah basikal.

Mencuba sesuatu yang baharu dan pelik adalah kegilaan mereka."


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!