Pasangan suami isteri juarai PBIM

Nik Fakaruddin Ismail bersama isterinya, Nur Amelia Musa menjadi juara Malaysia bagi kategori larian penuh lelaki dan wanita pada Pertandingan Maraton Antarabangsa Jambatan Pulau Pinang hari ini. -Foto Bernama
Nik Fakaruddin Ismail bersama isterinya, Nur Amelia Musa menjadi juara Malaysia bagi kategori larian penuh lelaki dan wanita pada Pertandingan Maraton Antarabangsa Jambatan Pulau Pinang hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

GEORGETOWN - Sepasang suami isteri anggota beruniform mengungguli Maraton Antarabangsa Jambatan Pulau Pinang (PBIM) apabila menyapu bersih kategori wanita dan lelaki Malaysia dengan membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000 dan trofi.

Anggota polis, Noor Amelia Musa, 33, mencatatkan masa 3 jam 18 minit, 51 saat dengan jarak 42.195km manakala suaminya, Nik Fakaruddin Ismail, 34, seorang anggota tentera menamatkan perlumbaan dengan rekod masa dua jam 40 minit, 53 saat.

Noor Amelia berkata, tahun ini merupakan percubaan kedua beliau menyertai maraton penuh PBIM dan mendapat pingat perak pada pertandingan tahun lepas.

Katanya, beliau telah berlatih selama enam minggu sebelum PBIM dan mengalami kecederaan pada sebelah kakinya.

“Syukur, suami saya sentiasa di sisi membantu untuk pemulihan saya,” katanya kepada pemberita di Queensbay di sini.

Sementara itu, Nik Fakaruddin yang kini juara empat kali maraton penuh PBIM (kategori lelaki Malaysia) sejak 2016 berkata, beliau agak berpuas hati dengan prestasinya tahun ini kerana hampir memecahkan rekod peribadinya.

Beliau berkata, rekod peribadi terbaiknya dalam menamatkan larian sejauh 42.195km adalah dua jam 40 minit, 3 saat.

“Terima kasih kepada hasil latihan saya yang konsisten di gim, trek dan rutin harian berjoging sejauh 20km,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata PBIM 2019 berjaya menarik penyertaan lebih 25,000 pelumba dari seluruh Malaysia dan 65 buah negara lain.

Beliau berkata, acara maraton antarabangsa tahunan yang diadakan di Pulau Pinang berjaya mempopularkan larian jarak jauh sebagai sukan yang menyeronokkan dan boleh disertai pelumba amatur serta profesional di negeri ini.

“Kerajaan negeri sejak sekian lama menggalakkan gaya hidup sihat dan PBIM mencerminkan moto negeri iaitu ‘Pulau Pinang yang Selamat, Bersih, Hijau dan Sihat,” katanya ketika berucap pada penutupan acara berkenaan. - Bernama