Guna pengangkutan awam seludup migran

Pendatang asing yang ditahan penguat kuasa imigresen.
Pendatang asing yang ditahan penguat kuasa imigresen.
A
A
A

PADANG BESAR - Sindiket penyeludupan migran rentas sempadan menggunakan taktik membawa masuk warga asing ke negeri ini menggunakan pengangkutan awam bagi mengelak tindakan mereka dihidu pihak berkuasa.

Bagaimanapun, tindakan mereka terbongkar selepas Jabatan Imigresen Malaysia Perlis berjaya menahan sindiket berkenaan semasa operasi khas di laluan Unit Dagang dan Jalan Raya, Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Padang Besar, kelmarin.

Pengarah Imigresen Perlis, Basri Othman berkata, operasi khas melibatkan Bahagian Penguatkuasa Imigresen Perlis dilakukan pada jam 2.30 petang kelmarin.

Menurutnya, semasa pemantauan dijalankan, pasukan pegawai intipan mengesan beberapa individu yang mencurigakan disyaki warganegara asing berada di dalam kawasan tersebut.

"Pasukan serbuan menangkap dua lelaki dan seorang perempuan dipercayai warga Myanmar berumur antara 28 hingga 39 tahun.

"Turut ditahan dua lelaki warganegara tempatan yang disyaki dalang utama serta perancang dalam menguruskan penyeludupan migran ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, hasil siasatan awal mendapati modus operandi sindiket ini menggunakan pengangkutan awam dan mereka akan turun di sekitar Pekan Padang Besar.

"Sindiket ini kemudiannya akan menguruskan pergerakan keluar pendatang asing ini ke negara jiran dengan menggunakan laluan-laluan tertentu.

Artikel Berkaitan:

"Maklumat awal mendapati pendatang asing berkenaan dikenakan bayaran sebanyak RM8, 000 seorang kepada sindiket untuk urusan keluar dari negara," katanya.

Basri berkata, kesemua yang ditahan akan disiasat bawah Akta Imigresen 1959/63.

"Pihak Imigresen menyeru orang ramai menyalurkan maklumat jika menyedari terdapat aktiviti menyalahi undang-undang di kawasan persekitaran mereka bagi memastikan tindakan penguatkuasa undang-undang dapat dilakukan," katanya.