Kes samun, penyokong dipukul tiada kaitan perlawanan bola sepak

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis percaya kejadian samun dan pukul melibatkan seorang lelaki warga Indonesia di Bukit Bintang di sini, Selasa lalu tidak mempunyai kaitan dengan perlawanan bola sepak kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Bukit Jalil baru-baru ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, kes itu diklasifikasikan sebagai samun memandangkan mangsa, Fuad Naji kehilangan pasport dan sejumlah wang.

"Polis menerima laporan daripada Fuad di pondok polis sebuah hospital yang memaklumkan dipukul dan disamun sekumpulan lelaki di kawasan itu pada jam 2 pagi.

“Satu kertas siasatan mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan dibuka dan motif kejadian masih dalam siasatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pihaknya sedang mengesan lelaki warga Indonesia itu kerana pegawai penyiasat tidak dapat merekod kenyataan daripada beliau pada hari kejadian.

“Mangsa terus menghilangkan diri setelah dinasihatkan untuk mendapatkan rawatan sebaik selesai membuat laporan di pondok polis hospital.

“Usaha mengesan Fuad di hotel juga menemui jalan buntu. Polis turut menggesa supaya dia serta rakan yang menjadi mangsa tampil berjumpa dengan pegawai penyiasat bagi siasatan lanjut,” katanya.

Huzir berkata, polis akan memohon kerjasama Kedutaan Indonesia untuk memaklumkan kepada mangsa tentang perkara itu.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya sedang mengenal pasti individu yang merakam serta menyebarkan rakaman video tular yang dikatakan menunjukkan beberapa warga Indonesia dipukul.

“Mana-mana individu atau saksi yang mempunyai maklumat berkenaan insiden itu juga diminta tampil untuk membantu siasatan,” katanya.

Baru-baru ini, satu video berdurasi kira-kira 48 saat tular di media sosial memaparkan beberapa individu dipercayai warga Indonesia dicederakan oleh beberapa warga Malaysia yang didakwa ada kaitan dengan perlawanan bola sepak kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, Selasa lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Video penyokong Indonesia dipukul: Biar polis siasat, kata menteri

Insiden penyokong dipukul bukan berlaku di Stadium Bukit Jalil