X

Kindly register in order to view this article
!

Anggota Parti Likud mahu singkirkan Netanyahu

Benjamin Netanyahu. - Foto AFP
A
A

TEL AVIV - Pegawai kanan dari Parti Likud didakwa sedang mencari jalan untuk menjatuhkan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu susulan dakwaannya terhadap rasuah.

Selepas tiga tahun penyiasatan, Peguam Negara Israel, Avichai Mandelblit mendakwa Netanyahu dengan penipuan, pecah amanah dan rasuah dalam tiga skandal berbeza kelmarin.

Dalam dakwaan 63 halaman itu, Netanyahu dituduh menerima ratusan ribu dolar dalam bentuk hadiah mewah daripada rakan jutawannya sebagai balasan untuk liputan berita positif.

Semalam, saluran televisyen Channel 12 melaporkan, anggota tertinggi Likud yakin era Netanyahu telah berakhir dan cuba untuk menyingkirkannya sebagai ketua parti dalam tempoh 21 hari yang diperuntukkan Parlimen Knesset.

Anggota Likud percaya satu-satunya cara untuk menjatuhkan sekutu rapat Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump itu adalah dengan bersatu di sebalik pengganti tunggal yang akan cuba mengumpulkan 61 ahli Knesset dalam badan legislatif 120 kerusi tersebut.

Pada peringkat ini, Netanyahu tidak perlu meletakkan jawatan tetapi perlu melepaskan empat jawatan menteri yang sedang dipegang iaitu pertanian, kesihatan, perkhidmatan sosial dan urusan diaspora.

Netanyahu merupakan Perdana Menteri Israel pertama yang dituduh melakukan jenayah.

Menerusi tinjauan yang dilakukan baru-baru ini, 56 peratus rakyat di negara itu percaya Presiden terbabit tidak akan meneruskan pentadbirannya selepas didakwa. - Agensi


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus