PM akui banyak perkara dilakukan PH tidak disenangi rakyat

Dr Mahathir (tengah) pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Presiden PH di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini hari ini.
Dr Mahathir (tengah) pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Presiden PH di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini hari ini.
A
A
A

PUTRAJAYA - Banyak perkara dilakukan Pakatan Harapan (PH) yang tidak disenangi rakyat sehingga tewas dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai baru-baru ini, kata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dr Mahathir turut memberi gambaran bahawa tuduhan sesetengah pengundi Melayu dan Cina bahawa PH dikuasai DAP termasuk dirinya 'memperkudakan' DAP telah menyebabkan PH kehilangan banyak sokongan daripada pengundi Melayu dan Cina seterusnya tewas dalam jumlah majoriti yang besar.

Beliau bagaimanapun menafikan tuduhan bahawa PH dikuasai DAP termasuk dirinya 'memperkudakan' parti DAP.

"Kita semua sedar bahawa keputusan buruk ini sebagai satu amaran kepada parti bahawa banyak perkara kita lakukan tidak disenangi rakyat terutamanya berkenaan isu kos sara hidup dan macam-macam lain.

"Ini termasuk tuduhan PH dikuasai sepenuhnya oleh DAP. Itu pandangan orang Melayu dan orang Cina pula berpendapat bahawa DAP 'diperkudakan' oleh Dr Mahathir daripada parti Bersatu.

"Jadi nampak 'balance' lah kedua-dua pihak tidak berpuas hati. Kita tidak boleh bagi puas hati semua orang tapi situasi sekarang rakyat tidak berpuas hati kerana kita tidak adil bagi kedua-dua belah pihak," katanya.

Perdana Menteri berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Presiden PH di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Umum PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden PH, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, katanya, PH telah melakukan post-mortem bagi mengenal pasti punca sebenar kekalahan PRK Parlimen Tanjung Piai namun enggan mendedahkan perkara itu.

"Jadi kita telah dengar satu taklimat berkenaan dengan post-mortem untuk pilihan raya (PRK Tanjung Piai) ini dan kita ambil ingatan dengan teguran yang telah dibuat.

"Tapi saya tidak boleh cerita kepada 'press' apa teguran, apa yang perlu kita lakukan tetapi masing-masing tahu tentang kesalahan masing-masing dan kita akan ambil tindakan mengatasinya," katanya.

Pada PRK Tanjung Piai yang berlangsung 16 November lalu, calon Barisan Nasional, Datuk Seri Wee Jeck Seng menang dengan majoriti besar iaitu 15,086 undi.

Beliau mendapat 25,466 undi manakala calon PH iaitu Karmaine Sardini daripada Bersatu hanya 10,380 undi.