Awasi sindiket jenayah warga China

A
A
A

MAAF cakaplah kalau saya kata, saya tidak terkejut sikit pun dengan berita tangkapan 680 warganegara China di Cyberjaya pada Rabu lalu kerana disyaki terbabit dengan sindiket penipuan internet.

Sebaliknya, saya pelik macam mana pihak berkuasa kawalan sempadan kita khususnya Jabatan Imigresen boleh benarkan begitu ramai warganegara China masuk dan terlibat secara besar-besaran dengan kegiatan jenayah.

Itulah kelemahan kita. Kita terlalu tamak dengan duit hingga dengan mudah benarkan orang asing masuk ke negara kita sebagai pekerja, pelajar dan pelancong.Kita tahu ramai daripada mereka masuk tapi tak keluar.

Ada yang bernikah dengan orang Cina tempatan dan jadi tukang urut, pelayan pusat hiburan, pelacur, penjaja haram dan pengemis.

Kalau sebelum ini, kita salahkan rasuah sebagai punca lambakan pekerja dan pendatang asing, apakah pula punca kebanjiran dan pembabitan mereka dalam kegiatan jenayah pada ketika kerajaan baru Pakatan Harapan (PH) bekerja keras basmi rasuah?

Adakah jabatan dan pihak berkuasa kita masih dikotori najis rasuah macam dulu juga?

Atas dasar itu, saya gesa sekali gus cabar pihak berkuasa undang-undang khususnya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah supaya lancar siasatan besar-besaran.

Kita nak tahun macam mana begitu ramai warganegara asing masuk ke Malaysia, berkumpul dalam kumpulan besar dan jadikan Cyberjaya sebagai pangkalan jenayah.

Artikel Berkaitan:

Adakah pihak keselamatan dan kerajaan tempatan tidur atau ada sebab-sebab lain yang lebih mencurigakan? Kita tahu sindiket jenayah bilion ringgit beroperasi seperti perniagaan biasa di bawah batang hidung pihak berkuasa.

Katalah susah nak tangkap Jho Low sebab dia dilindungi oleh kerajaan asing atau sebab muka dia macam beruang dan badan macam seladang tapi kalau sindiket judi, arak dan pelacuran dalam negara pun berleluasa, apa cerita?

Balik kepada cerita pembabitan warganegara China dengan kegiatan jenayah, ia bukanlah perkara baru. Ia bermula sejak zaman penjajahan Eropah lagi.

Kuasa-kuasa penjajah, khususnya Inggeris, Perancis dan Portugis secara sistematik peralat feudalisme, penindasan dan kemiskinan di China untuk kepentingan perdagangan mereka.

Kemuncak kepada penindasan bangsa Eropah terhadap China adalah langkah Inggeris membolot perniagaan candu sehingga berlaku perang dengan China yang dikenali sebagai The Opium War dari tahun 1839 hingga 1860.

Apabila British menang perang itu, mereka paksa China serah Hong Kong dan Canton kepada mereka manakala Macau diserah kepada Portugis.

Perancis pula dapat konsesi dagangan di Shanghai di mana mereka bina bangunan indah menyerupai negara mereka.

Inggeris turut perhamba orang China dengan bawa mereka ke wilayah takluknya di Asia Tenggara khususnya Tanah Melayu sebagai buruh terikat (indentured labourers) untuk bekerja di lombong emas dan timah.

British bawa ke Tanah Melayu perniagaan dan penagihan dadah.

Begitu rapi kejahatan Inggeris itu hingga candu dilesenkan dengan membuka rumah-rumah candu atau opium dens di setiap penempatan pendatang China.

British turut guna kongsi-kongsi gelap China untuk kawal pendatang dari China.

Jadi tidak hairanlah kalau sebahagian kecil kecemperaan (diaspora) China di Malaysia dan seluruh dunia, dulu dan sekarang terlibat dengan kegiatan haram.

Saya bimbang sindiket penipuan siber antarabangsa di Malaysia khususnya libatkan warganegara China adalah lebih besar daripada di Cyberjaya.

Di China, mereka tak berani. Teknologi pantauan internet China antara tercanggih di dunia.

Kalau kena tangkap hukuman sangat berat dan cepat termasuk penjara seumur hidup. Kalau rasuah tembak di kepala.

Jadi mereka cari soft target di mana berlaku amalan rasuah dan sikap sambil lewa tapi terdapat sistem komunikasi canggih dan kebebasan multimedia yang luas.

Maaf cakaplah kalau saya kata, penumpasan sindiket penipuan siber China di Cyberjaya bukanlah kebanggaan tapi sebaliknya tanda tanya yang merisaukan. Macam mana sindiket yang begitu besar boleh beroperasi?

Wallahuaklam.

* Datuk A Kadir Jasin ialah Tokoh Wartawan Negara