Jual kenderaan curi

No Image Caption
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Polis menahan tiga lelaki terlibat kegiatan curi kereta dan jual kenderaan curi di sekitar daerah Seberang Perai Tengah (SPT) dalam serbuan berasingan di Sungai Petani, Kedah pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah (SPT) Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata, pihaknya menerima laporan polis daripada seorang lelaki memaklumkan dihubungi seorang lelaki yang mahu dia menukar nama kereta jenis Perodua Myvi miliknya ke atas lelaki yang menghubunginya.

"Lelaki itu terkejut kerana kereta Perodua Myvi itu telah hilang pada 2016 dan membuat laporan polis berhubung kehilangan berkenaan serta masih belum ditemui, dia kemudiannya sekali lagi membuat laporan polis berhubung perkara tersebut (dihubungi lelaki mahu menukar nama kereta)," katanya di sini hari ini.

Katanya berikutan itu, polis telah melancarkan operasi dan berjaya menahan tiga lelaki berusia 30-an secara berasingan di sekitar Sungai Petani bermula pukul 6 pagi hingga 8 pagi pada Jumaat dipercayai anggota sindiket curi kereta dan jual kenderaan curi.

Katanya susulan penahanan mereka, polis merampas tiga buah kereta iaitu sebuah Honda Stream dipercayai dicuri dan dua kereta Honda Jazz yang nombor casisnya tiada dalam sistem Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dipercayai telah diubah suai.

Nik Ros Azhan berkata, siasatan awal mendapati mereka terlibat dalam kegiatan curi di sekitar SPT dan daerah lain di Pulau Pinang sebelum kenderaan itu dijual dengan harga murah kepada rakan-rakan mereka sejak tahun lepas.

"Kereta yang dicuri akan dijual dengan harga murah malah pembeli perlu membeli secara tunai kerana kenderaan itu tidak boleh dibayar secara ansuran menerusi bank, polis juga sedang mengesan beberapa lagi anggota sindiket berkenaan," katanya.

Katanya, siasatan awal mendapati tiga lelaki itu terlibat sekurang-kurangnya lima kes curi kereta di SPT dan sasaran mereka adalah kenderaan jenama Honda, Toyota dan Proton bagi model wira serta Saga kerana mendapat permintaan yang tinggi.

Artikel Berkaitan:

"Siasatan juga mendapati mereka mampu mengaut keuntungan ribuan ringgit setiap bulan hasil kegiatan curi kereta dan jual kenderaan curi. Tiga lelaki itu kini direman untuk siasatan lanjut," katanya.