Kematian pelajar akibat dipatuk ular cetus protes

Pelajar sebuah sekolah di Kerala, India memegang plakad dan ular mainan ketika protes berhubung kematian pelajar berusia 10 tahun akibat dipatuk ular di dalam kelas. - Foto AFP
Pelajar sebuah sekolah di Kerala, India memegang plakad dan ular mainan ketika protes berhubung kematian pelajar berusia 10 tahun akibat dipatuk ular di dalam kelas. - Foto AFP
A
A
A

WAYANAD - Sekumpulan besar pelajar sebuah sekolah di Kerala, India mengadakan protes susulan kematian rakan mereka akibat dipatuk ular berbisa yang bersembunyi dalam sebuah lubang di dalam kelas.

Media tempatan melaporkan, Shehala Sherin, 10, hanya dikejarkan ke hospital selepas satu jam dipatuk haiwan berkenaan.

Dalam kejadian Rabu lalu, guru kelas mangsa yang kini digantung tugas dilaporkan tidak mengendahkan tangisan pelajarnya yang kesakitan dan meneruskan sesi pembelajaran walaupun kaki mangsa telah bertukar biru.

Susulan insiden tersebut, ibu bapa mangsa membawa anak mereka ke empat hospital berasingan namun diberitahu tiada anti venom untuk merawatnya.

Pelajar berkenaan meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital kelima yang terletak sejauh 90 kilometer dari kediaman mereka.

Sementara itu, laporan Press Trust of India menyebut, sekolah terbabit tidak mempunyai kotak pertolongan kecemasan dan ular sering ditemui di kawasan padang permainan dan bilik darjah.

"Guru sepatutnya mengajar pelajar bagaimana untuk bertindak dalam situasi sedemikian," kata Ketua Menteri Kerala, Pinarayi Vijayan sambil menambah tindakan tegas akan diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab.

Kira-kira 50,000 orang maut akibat dipatuk ular setiap tahun di India kebanyakannya di kawasan luar bandar di mana kadar kematian adalah tinggi disebabkan kekurangan pusat penjagaan kesihatan dan stok anti venom. - Agensi

Artikel Berkaitan: