'Saya sedia berdepan undi tidak percaya'

Dr Mahathir - Foto Bernama
A
A

BANGI - Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini berkata beliau sedia berdepan dengan usul undi tidak percaya kerana percaya beliau mempunyai sokongan kuat.

Beliau berkata, sepanjang pengetahuannya beliau pada masa ini menerima sokongan termasuk daripada pembangkang iaitu UMNO dan Pas.

“Apa yang saya tahu, Pas juga kata sokong saya, terima kasih. UMNO berkata, mereka juga sokong saya, terima kasih. Saya tidak tahu siapa yang tidak sokong saya tetapi jika mereka tidak sokong saya, mereka sentiasa boleh bawa usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di sini hari ini semasa dirujuk wartawan mengenai cadangan oleh seorang pemimpin UMNO supaya Dr Mahathir membentuk 'kerajaan perpaduan' untuk terus menguasai Putrajaya.

ARTIKEL BERKAITAN: Mesyuarat Kabinet tak bincang rombakan: Tun M

Dr Mahathir terdahulu merasmikan Konvensyen Alumni ‘Sekolah Kepimpinan Masa Hadapan’ (MFLS) turut memberikan respons terhadap gesaan Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa agar memilih sama ada bergabung dengan UMNO atau DAP.

"Kalau dia tidak rosakkan UMNO, saya akan pilih UMNO, tetapi dia dan kawan-kawan dia, Datuk Seri Najib (Tun Razak) guna UMNO untuk cari duit, takkan saya nak cari parti macam itu," katanya.

Sementara itu Dr Mahathir berkata, beliau telah bertanya kepada Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali semalam, mengenai perjumpaan dengan beberapa anggota Parlimen termasuk daripada UMNO di kediamannya di Putrajaya pada Isnin lepas.

Ahli Parlimen jumpa Azmin mengadu 'hilang' parti

'Kami tak ada sebut hilang parti'

Ditanya selaku Pengerusi Pakatan Harapan, adakah beliau akan menasihati PKR agar tidak menggembar-gemburkan masalah dalaman parti mereka, Dr Mahathir berkata, beliau tidak akan mencampuri urusan parti-parti lain walaupun mereka bernaung di bawah PH.

Mengenai maklumat yang disampaikan Datuk Seri Anwar Ibrahim kepadanya mengenai ada anggota Kabinet yang menyalah guna kuasa atau meraih dukungan politik menerusi pemberian projek, Dr Mahathir berkata, menteri berhak memberikan projek di dalam kawasan Parlimen mereka. - Bernama