'Kami tak ada sebut hilang parti'

Laporan Sinar Harian berkaitan kenyataan Perdana Menteri petang tadi.
Laporan Sinar Harian berkaitan kenyataan Perdana Menteri petang tadi.
A
A
A

SHAH ALAM - Sekumpulan Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang mengadakan pertemuan dengan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin di Putrajaya baru-baru ini menafikan dakwaan kononnya mereka mengadu sudah 'hilang' parti.

Menerusi kenyataan bersama, Datuk Seri Ismail Mohamed Said, Datuk Salim Sharif, Datuk Jalaluddin Alias, Ramli Mohd Nor, Datuk Seri Azalina Othman Said, Datuk Abdul Rahman Mohamad dan Datin Mastura Mohd Yazid berkata, sebaliknya pertemuan itu hanya berhubung kait usaha pembangunan di kawasan Parlimen masing-masing.

"Merujuk kepada laporan berita berkaitan sidang media Tun Mahathir petang tadi, kami menafikan sekeras-kerasnya dakwaan kononnya pemimpin UMNO sudah hilang parti dan tidak tahu apa yang perlu dilakukan sama ada masuk parti lain atau sebaliknya.

"Tidak pernah sekalipun pendirian sedemikian disebut oleh mana-mana Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) semasa pertemuan tersebut," kata kenyataan itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Ahli Parlimen jumpa Azmin mengadu 'hilang' parti

Menurut kenyataan itu lagi, pertemuan malam itu adalah semata-mata untuk kepentingan rakyat di kawasan Parlimen yang diwakili mereka.

"Seperti yang dinyatakan berulang kali sebelum ini, kami tidak akan sesekali keluar UMNO apatah lagi lompat parti.

"Selain itu, dengan kemenangan besar BN di Tanjung Piai, kami turut mengajak Azmin untuk masuk UMNO kerana terbukti ketika ini rakyat lebih percayakan UMNO dan BN," katanya.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada sidang akhbarnya di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) petang tadi memberitahu, pertemuan pemimpin UMNO dengan Mohamed Azmin yang juga Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) antaranya bertujuan memberitahu mereka sudah 'hilang' parti.

Katanya, Mohamed Azmin memaklumkan perkara itu kepada beliau ketika ditanya mengenai pertemuan kontroversi itu.

Kenyataan bersama yang dikeluarkan Ahli Parlimen BN susulan kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad petang tadi.
Kenyataan bersama yang dikeluarkan Ahli Parlimen BN susulan kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad petang tadi.