PTPTN sambut baik Johor jadikan SSPN sebagai pilihan insentif

A
A

KUALA LUMPUR – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menyambut baik usaha kerajaan Johor menjadikan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) sebagai pilihan utama bagi pemberian insentif pada pembentangan Belanjawan Johor 2020 hari ini.

PTPTN dalam kenyataannya berkata, melalui pembentangan tersebut, kerajaan Johor memperuntukkan sebanyak RM100,000 bagi Program Dana Didik Johor untuk 2020.

“PTPTN berterima kasih kepada kerajaan Johor kerana memilih SSPN sebagai instrumen simpanan bagi tujuan pendidikan anak-anak Johor.

“Program Dana Didik Johor akan diteruskan pada tahun 2020 dengan peruntukan dinaikkan daripada RM50 kepada RM100 untuk setiap kelahiran yang diberikan dalam akaun SSPN-I sekali gus memberi manfaat kepada kira-kira 1,000 bayi dalam kalangan keluarga B40,” katanya.

Menurut PTPTN, inisiatif itu menunjukkan komitmen kerajaan Johor mendidik rakyatnya menabung seawal usia kanak- kanak.

“Selain itu, Yayasan Pelajaran Johor (YPJ) meneruskan Bantuan Pengajian Pelajaran Negeri Johor bagi inisiatif pemberian Biasiswa Kenangan Dato’ Onn dengan peruntukan sebanyak RM600,000 pada 2020 berbanding sebanyak RM500,000 pada 2019 dalam akaun SSPN-i untuk memberi manfaat kepada seramai 1,000 pelajar cemerlang di sekolah menengah,” katanya.

Justeru, PTPTN menggalakkan kerajaan negeri lain menjadikan SSPN sebagai pilihan utama bagi pemberian insentif dalam belanjawan dan program utama untuk rakyat,” katanya.