Sektor pertanian sumbang RM16.5 bilion KDNK Sarawak

Abang Johari Tun Openg - Foto fail
Abang Johari Tun Openg - Foto fail
A
A
A

KUCHING - Sektor pertanian di Sarawak menyumbang sebanyak RM16.5 bilion atau 12.4 peratus kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Sarawak pada tahun lepas.

Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, tahun ini kerajaan Sarawak menjangka sumbangan sektor itu akan meningkat sebanyak 2.4 peratus kepada 15 peratus.

“Ini bermakna sektor pertanian berkembang dan meningkat, selari dengan sasaran Sarawak untuk menjadi pengeksport utama menjelang 2030.

“Kita (kerajaan negeri) mahu Sarawak menjadi pengeluar bahan makanan kepada dunia khususnya negara jiran,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Sarawak Agrofest 2019 di sini hari ini.

Setakat ini nilai eksport bahan makanan Sarawak berjumlah RM900 juta dan angka tersebut masih kurang berbanding nilai import bahan makan yang berjumlah RM4.7 bilion.

Justeru, Abang Johari berkata, kerajaan Sarawak memperuntukkan RM797 juta dalam Belanjawan 2020 untuk membangunkan sektor pertanian.

“Peruntukan ini untuk menggerakkan dasar-dasar pertanian, ada dasar baru ditubuhkan, pertamanya Agro Park yang akan dibekalkan dengan infrastruktur internet (Internet of Thing) yang berkeluasan antara 20 (8.1 hektar) hingga 30 ekar (12 hektar).

“Pada pendapat saya untuk industri makanan sudah mencukupi, saya yakin ini dapat kita laksanakan. Yang keduanya, kita (kerajaan negeri) memberikan modal teroka melalui dana fasilitasi untuk dijadikan modal membangunkan usaha-usaha tersebut,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: