X

Kindly register in order to view this article
!

Bahagia bersama si comel

ANAK saudara Opie yang selesa bermain dan bermanja bersama si comel.
A
A

BELON berwarna-warni pelbagai bentuk seperti bunga, hati (love) dan haiwan diletakkan di dalam bekas di satu sudut kafe khusus buat pengunjung yang membawa anak-anak kecil.

Di tepi bekas belon berkenaan pula terdapat sekeping papan tanda hitam kecil yang tertera ayat ringkas.

‘Ambil belon dan derma seikhlas hati untuk bantu kucing jalanan. Tq’. Tulis ‘Mama Pinky’, si badut wanita.

Nazirah Abd Rahman, 42, seorang perunding kecantikan sanggup melakukan kerja sambilan sebagai badut di Konda Kondi Cafe, Jalan Sultan Idris Shah, Ipoh, Perak pada setiap hujung minggu.

MAMA PINKY sanggup melakukan kerja sampingan sebagai badut demi mencari duit poket untuk menyara puluhan kucing jalanan dan peliharaan. Foto: BERNAMA
MAMA PINKY sanggup melakukan kerja sampingan sebagai badut demi mencari duit poket untuk menyara puluhan kucing jalanan dan peliharaan. Foto: BERNAMA

Kelibat Nazirah atau lebih dikenali panggilan Mama Pinky tepat pukul 9 malam adalah untuk mencari duit poket tambahan bagi menyara 50 si comel berbulu yang dipeliharanya bermula tiga tahun lalu.

Lazimnya, sebaik selesai tugas sebagai perunding kecantikan di bandar Ipoh, Nazirah akan menyarungkan kostum badut berwarna merah jambu dan solekan berkonsep ceria.

Menurut Nazirah, ilmu kemahiran menyolek persis badut dan kreativiti menggubah belon dipelajari melalui laman sosial Youtube, badut 'Piweet dan ‘Bobo’ daripada komuniti ‘Kami Clown’ di Taiping, Perak.

Matlamat utama Mama Pinky, ingin menarik perhatian sebagai penghibur dan berharap pengunjung menghulurkan sumbangan secara ikhlas.

Gelagat Mama Pinky yang sentiasa mengukirkan senyuman ternyata menghiburkan pelanggan, apatah lagi disusuli aksi mencuit hati.

Malangnya, langit tidak selalunya cerah, meskipun belon diambil, namun adakalanya sumbangan tidak dihulurkan. Bagaimanapun, beliau tetap mengukirkan senyuman dan tabah kerana niat ikhlas Mama Pinky adalah untuk membantu kucing dan anjing jalanan. Duit poket lebihan itu akan digunakan untuk membeli makanan baik untuk kucing jalanan mahupun yang dibelanya.

Didikan ibu bapa agar sentiasa menyayangi haiwan menyebabkan wanita kecil molek itu begitu kasih dan sayang terhadap haiwan tanpa mengira fizikal.

Kini Nazirah membela sebanyak 50 ekor kucing di rumahnya di Batu Gajah, Perak. Ada yang diambil dari beberapa pejabat veterinar setelah ditinggalkan pemilik.

Bukan itu sahaja, Nazirah juga sanggup menaiki motosikal setiap malam tanpa mengira waktu untuk singgah di Pasar Pinji di Ipoh semata-mata untuk memberi makan kucing dan anjing berkeliaran di sekitar pasar berkenaan.

"Mama risau kalau tidak singgah situ, semua kucing tetap tunggu. Ada seekor kucing berwarna putih tompok-tompok hitam pun dah bersedia tunggu Mama kat pasar itu.

"Jadi biar apapun, Mama akan singgah untuk beri makanan.

"Jika kucing sakit pula Mama selalu hantar ke Ipoh Garden Animal Clinic, Jean Veterinary Centre dan Klinik Haiwan Menglembu mengikut keadaan dan jenis kesakitan,” katanya ketika ditemui Bernama. Beliau sanggup mengeluarkan kos makanan antara RM400 dan RM500, perbelanjaan ditanggungnya belum termasuk kos rawatan di klinik.

Tambah Nazirah, tiga anak lelakinya Muhd Nur Zikry Azamuddin, 23, Muhd Nur Aqil Naqimuddin, 22, dan Muhd Nur Danial Hafizuddin berusia 20 tahun turut dididik mencintai haiwan.

“Anak-anak Mama pun sayang kucing. Mereka rajin membawa ke veterinar kalau kucing sakit semasa Mama bekerja. Jika jumpa kucing jalanan yang sakit mereka akan bawa balik untuk dirawat dan kalau mati akan dibawa pulang untuk ditanam,” tuturnya.

Tabah dan Tuah Ramadan

Bicara anak kedua daripada lima beradik itu 'Tabah' yang berbulu jingga merupakan kucing pertama menawan hati beliau.

"Tabah, kucing jantan yang Mama jumpa ketika merayau-rayau di pasar raya Ipoh Parade dalam keadaan comot, busuk dan kaki kanan berulat. Mama ambil dan bawa ia untuk rawatan doktor,” jelasnya yang bersimpati dengan nasib Tabah apabila kaki terpaksa dipotong.

Nazirah berkata, walaupun menghabiskan banyak wang untuk kos rawatan, namun beliau gembira melihat Tabah yang semakin sembuh, cergas dan bersemangat.

Namun, umur Tabah tidak panjang kerana mati akibat Leukemia pada bulan November tahun lalu.

Selepas kematian Tabah, dek terlampau cinta dan kasih terhadap haiwan comel tersebut, Nazirah sanggup datang ke ibu negara untuk mengambil anak kucing yang putus kedua-dua tangan di Jabatan Perkhidmatan Veterinar Cheras, Kuala Lumpur kerana tersepit di dalam enjin sebuah trak forklift.

“Mama terbaca berita mengenai kucing terbabit dan terus membuat keputusan untuk mengambil dan menjaganya,” luah beliau.

“Kucing yang saya namakan ‘Tuah Ramadan’ itu diselamatkan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Tun Hussein Onn di Balakong, Cheras,” katanya yang turut mengambil kucing peliharaan yang ditinggalkan pemilik akibat sakit di Pejabat Veterinar Bukit Minyak, Seberang Perai, Pulau Pinang.

Harapkan perlindungan Nazirah menyifatkan masyarakat seharusnya mempunyai perasaan belas kasihan terhadap haiwan jalanan dan peliharaan kerana ia mengharapkan perlindungan dan makanan daripada manusia.

"Kita perlu menganggap haiwan kesayangan sebahagian daripada keluarga dan bukan atas nama haiwan. Jaga ia hingga ke akhir hayat. Jika sakit bawa ke klinik untuk rawatan lanjut,” katanya.

Beliau juga meminta masyarakat agar tidak meninggalkan kucing peliharaan di jalanan kerana haiwan itu sukar berdikari.

“Sebelum ini, mereka ada tuan yang menguruskan makanan dan tempat tinggal. Tindakan meninggalkan kucing belaan di pasar atau kedai makan amat tidak selamat untuk haiwan, ia sangat bahaya,” tegasnya.

Opie cari rumah selesa

Sementara itu, mengulas lanjut mengenai kebajikan si comel, Che Wan Sofiatul Shima Wan Chik antara pencinta kucing yang sentiasa menitikberatkan aspek keselesaan secara holistik.
OPIE cukup menyayangi Ville Valo Maulana kucing pertama yang dipeliharanya bermula pada 12 tahun lalu.
OPIE cukup menyayangi Ville Valo Maulana kucing pertama yang dipeliharanya bermula pada 12 tahun lalu.

Bicara wanita berusia 39 tahun tersebut, acap kali berpindah kediaman beliau akan memastikan reka bentuk, bahagian, sistem pengudaraan dan persekitaran di rumah baharu bersesuaian dengan kondisi kucing peliharaannya.

“Sedekad lalu, saya memiliki 55 ekor kucing. Tapi sejak dua tahun kebelakangan ini, ia berkurangan hingga 15 ekor sahaja. Ada mati kerana sakit dan dihadiahkan juga kepada sahabat.

“Tanggungjawab menjaga puluhan kucing bukan tugas mudah, namun ia sedikitpun tidak membebankan. Sebab itu, apabila berpindah saya akan memastikan rumah baharu serasi dan selesa dengan keadaan Ville Valo Maulana, Apple, Tompok dan rakan-rakan,” jelasnya ketika ditemui Femina di Taman Tun Dr Ismail, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Tutur wanita yang mesra disapa Opie itu, haiwan kesayangannya menikmati makanan jenis kering sebanyak tiga kali sehari. Setiap pagi sebelum keluar bekerja beliau akan membersihkan sangkar dan kotak pasir yang dikotori najis termasuk mengisi bekas air mencukupi bagi mengelakkan kucing peliharaannya kehausan.

“Selain itu, saya turut melakukan pemeriksaan fizikal bagi mengesan luka, koyak atau kecederaan. Maklumlah, apabila tiada rumah macam-macam boleh berlaku. Minggu lalu misalnya, seekor kucing saya mengalami kedudukan rahang terganjak kerana terjatuh ketika bermain.

“Sedarpun apabila bunyi mengiaunya berbeza dan tidak lalu makan. Kemudian, ia menjalani imbasan X-ray, dan terpaksa dirawat di klinik selama seminggu," ujarnya yang tidak kisah berbelanja ribuan ringgit, asalkan kucing-kucing kesayangannya tinggal di persekitaran yang baik, kesihatan terjaga dan menikmati makanan berkhasiat.

Dalam pada itu, Opie turut menyifatkan kucing ialah haiwan peliharaan yang sarat dengan kasih sayang dan bijak menjentik emosi kebahagiaan.

“Tatkala mempunyai masalah, saya selalu berkongsi bersama ‘sahabat baik’ Ville Valo Maulana, kucing peliharaan yang dibela sejak 12 tahun lalu.

"Memeluk dan berkomunikasi dengannya membantu mengurangkan kedukaan. Keletahnya sentiasa mencuit hati dan gemar baring di atas sejadah apabila mendengar alunan ayat al-Quran,” bicara anak kelahiran Kuantan, Pahang tersebut.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!