Balas kepercayaan rakyat, tunai janji manifesto: MPMMK

Syed Mohammad Faiz Azemmant
Syed Mohammad Faiz Azemmant
A
A
A

KUANTAN - Kerajaan Pakatan Harapan (PH) perlu membalas kepercayaan rakyat yang memberi kemenangan kepada mereka pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu dengan menunaikan janji dalam manifesto.

Presiden Majlis Pemikir Muda Melayu Kebangsaan (MPMMK), Datuk Syed Mohammad Faiz Azemmant berkata, keputusan dibuat rakyat pada 9 Mei tahun lalu telah mencipta sejarah apabila kerajaan Barisan Nasional (BN) yang memerintah selama 60 tahun dijatuhkan.

“Ini adalah kuasa rakyat dan tiada siapa pun boleh mempertikaikannya. Apabila rakyat sudah pun memberikan kepercayaan kepada PH, maka kepercayaan itu perlu dibalas kerajaan baru termasuk menunaikan janji.

"Mengenai peralihan kuasa politik, ia adalah amalan biasa di kebanyakan negara seluruh dunia sebagai tanda demokrasi dan kestabilan sistem politik." katanya dalam dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, MPMMK melihat keadaan dan situasi negara selepas PRU14 lalu menjurus ke arah politik sentimen yang boleh memberi kesan tidak baik kepada rakyat dan negara ini.

“Kita seharusnya mengelakkan diri daripada terjebak dalam perkara yang menggalakkan politik kebencian.

“Ini kerana sentimen sedemikian tidak sepatutnya dibiarkan berleluasa kerana perbuatan seperti itu hanya akan menyemai perasaan memusuhi dan benci-membenci,” katanya.

Katanya, dalam beberapa siri Pilihan Raya Kecil (PRK) yang berlaku selepas PRU14 pula, pihaknya melihat politik kebencian terus dimainkan parti politik termasuk PH yang menerajui kerajaan Pusat.

Artikel Berkaitan:

"Antara yang ketara adalah serangan peribadi ke atas pemimpin yang mencerminkan semangat kebencian dan tidak matang.

“Serangan peribadi merupakan amalan politik yang tidak wajar mendapat tempat di sebuah masyarakat bertamadun seperti Malaysia,” katanya.

Syed Mohammad Faiz berkata, parti pembangkang seharusnya menjadi blok yang berhemah sebagai semak dan imbang kepada kerajaan sedia ada.

“Kerajaan pula jadilah kerajaan yang terus memperlihatkan kesan positif kepada ekonomi dan politik negara demi memastikan Malaysia terus gah di mata dunia.

“Tidak salah berpolitik, tetapi ia perlu diimbangi secara berhemah dan bijak demi kestabilan membabitkan kaum, agama serta negara,” katanya.