MVV 2.0 dijadikan tapak perkuburan Cina?

Aminuddin Harun
Aminuddin Harun
A
A
A

SEREMBAN – Kerajaan Negeri Sembilan masih belum membuat keputusan untuk memberi persetujuan kepada sebuah syarikat untuk membangunkan tanah seluas 141 hektar di kawasan Lembah Wawasan Malaysia (MVV) 2.0 untuk tapak perkuburan Cina.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun (PKR-Sikamat) berkata, perkara itu masih di peringkat kajian dan perbincangan.

“Kita setuju untuk dibuat kajian kerana itu adalah tanah kuari kerana tiada siapa yang mahu buat pembinaan di kawasan tanah bukit yang tinggi.

“Jika memang tiada kemajuan lain, kita akan lihat apa keperluan sebenar di kawasan itu. Jadi kita akan pertimbangkan cadangan memajukan tanah itu sebagai tanah perkuburan Cina.

"Hanya pertimbangan, belum ada keputusan,” katanya menjawab soalan lisan Datuk Seri Mohamad Hasan (BN-Rantau) pada Persidangan Ketiga (Belanjawan) Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri( DUN) Negeri Sembilan hari ini.

Mohamad membangkitkan isu berkenaan ketika sesi pertanyaan lisan yang meminta penjelasan dari kerajaan Negeri Sembilan sama ada kerajaan telah memberi kebenaran secara bertulis kepada sebuah syarikat untuk membangunkan tanah itu menjadi tapak tanah perkuburan Cina.

Beliau berkata, kerajaan Negeri Sembilan perlu memikirkan semula mengenai perkara itu kerana ia sepatutnya melaksanakan pelaburan berteknologi tinggi yang boleh menjamin pendapatan tinggi kepada negeri ini dan lebih peluang pekerjaan seperti mana di kawasan Sendayan.

“Jika ia benar, saya minta kerajaan negeri pertimbangkannya semula. Jangan lulus terlampau banyak tanah perkuburan.

Artikel Berkaitan:

“Kita tidak mahu Negeri Sembilan dikenali sebagai negeri tanah perkuburan,” katanya.

Di bawah projek MVV 2.0, sejumlah 153,411 hektar tanah di Nilai, Seremban dan Port Dickson dijangka akan dibangunkan dan ia dijangka menarik RM294 bilion pelaburan dalam tempoh 30 tahun.

ARTIKEL BERKAITAN: NS susun semula pembangunan MVV