NS susun semula pembangunan MVV

Mohamad Rafie Abd Malek
Mohamad Rafie Abd Malek
A
A
A
SEREMBAN - Kerajaan Negeri Sembilan akan menyusun semula pembangunan projek Lembah Wawasan Malaysia (MVV) dengan memberi tumpuan kepada pembangunan ekonomi dan perusahaan berimpak tinggi.

Exco Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan, Dr Mohamad Rafie Abd Malek berkata, ia berbeza dengan apa dirancang kerajaan terdahulu yang lebih fokus kepada hartanah untuk kawasan bandar baharu dan kawasan perindustrian.

"Dalam perancangan baru di bawah MVV 2.0, kita merangka bagaimana merangsang ekonomi dengan menyasarkan pemain utama yang mampu memberi impak menyeluruh.

"Contohnya, kita membawa syarikat airbus sebagai pemain utama dalam industri penerbangan yang mampu membawa ratusan industri sokongan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Bengkel Open Space Technology: Keperluan dan Sumbangan Belia Negeri Sembilan Terhadap Pelaksanaan MVV 2.0 di Hotel Klana Resort di sini, hari ini.

Menurutnya, ia bukan sahaja melibatkan industri tempatan tetapi juga luar negara yang terlibat dalam bidang aeroangkasa dan maritim.

Mohamad Rafie berkata, sekretariat MVV 2.0 juga sedang berusaha mengumpul pandangan daripada pelbagai pihak termasuk golongan belia tanpa mengira latar belakang menerusi bengkel dianjurkan.

"Saya tak rasa ia melambatkan pembangunan MVV apabila mengambil pandangan belia dan pihak lain tetapi membantu memastikan pelaksanaannya nanti lebih tersusun dan bermanfaat.

"Antara pandangan yang diberi oleh belia ialah aeroangkasa, pastikan kelastrian alam sekitar dan keadilan peluang pekerjaan kepada mereka," katanya.
Artikel Berkaitan:


Menurutnya, MVV 2.0 yang merangkumi empat kluster utama iaitu industri, pendidikan, pelancongan dan perkhidmatan khusus dijangka akan dilancarkan menteri besar pada 13 Disember ini.