RM20,000 lesap angkara 'Pegawai LHDN'

No Image Caption
A
A
A

KUANTAN - Akibat mempercayai orang tidak dikenali tanpa usul periksa, seorang pesara guru terpaksa menanggung kerugian RM20,000 selepas terpedaya dengan panggilan 'pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN)' dan 'pegawai polis', kelmarin.

Menggunakan modus operandi sama, wanita warga emas berusia 61 tahun dari Maran yang merupakan mangsa terbaharu sindiket penipuan Macau Scam itu dimaklumkan kononnya namanya dikaitkan dengan aktiviti pengubahan wang haram.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, kejadian berlaku pada jam 10 pagi kelmarin apabila mangsa dimaklumkan mempunyai tunggakan cukai syarikat berjumlah RM17,600 melalui panggilan oleh 'pegawai LHDN', namun mangsa menafikannya sebelum panggilan disambung kepada 'pegawai polis' dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor memberitahu mangsa terlibat dengan pengubahan wang haram

"Mangsa diminta membuat bayaran RM30,000 bagi tujuan membersihkan nama daripada kes tersebut dan bimbang berdepan hukuman berat, mangsa akur apabila segera membuat bayaran RM20,000 secara pindahan wang ke sebuah akaun bank atas nama seorang lelaki.

"Selepas bayaran dibuat, suspek memaklumkan akan menghubungi mangsa lagi sehingga dia mula curiga dan syak telah diperdaya," katanya hari ini.

Beliau berkata, mangsa membuat laporan polis semalam dan kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Artikel Berkaitan: