Dana berjaya dikumpul untuk keluarga 39 migran Vietnam

Halaman GoFundMe berjaya mengumpulkan dana lebih RM70,813.
Halaman GoFundMe berjaya mengumpulkan dana lebih RM70,813.
A
A
A

HANOI - Lebih AS$110,000 (RM458,205) berjaya dikumpulkan untuk membantu keluarga 39 migran Vietnam yang ditemukan mati ketika cuba diseludup masuk ke UK dalam sebuah trak pada bulan lalu.

Wang dikumpulkan beberapa pertubuhan tersebut akan digunakan bagi membayar kos untuk menghantar pulang kesemua mayat ke pangkuan keluarga masing-masing.

Halaman GoFundMe dilaporkan berjaya memperoleh lebih AS$17,000 (RM70,813) daripada sasaran asal sebanyak AS$40,000 (RM166,620).

Menurut Sasha Mai, salah seorang penganjur yang mengumpulkan dana itu, kempen lain turut meraih lebih AS$60,000 (RM249,930).

Difahamkan, keluarga mereka perlu menanggung kos lebih AS$2,856 (RM11,896) untuk membawa pulang setiap seorang mayat mangsa.

Bayaran yang tinggi menyebabkan kerajaan Vietnam menawarkan pinjaman kepada ahli keluarga mangsa yang mana sebahagian daripada mereka cuba untuk mendapatkan wang bagi menanggung kos tersebut.

Jika proses pembakaran mayat telah dibuat, kos yang terpaksa ditanggung adalah kira-kira dua pertiga daripada harga asal.

Isnin lalu, sebahagian daripada keluarga mangsa dilaporkan terpaksa meminjam wang dan kembali dibebani hutang untuk proses penghantaran pulang mayat terbabit.

Artikel Berkaitan:

"Kami sudah meminjam wang yang terlalu banyak. Kami mungkin terpaksa gadai apa harta yang kami ada untuk tanggung kos tersebut," kata ahli keluarga salah seorang mangsa, Pham Ngoc Tuan.

Sehingga kini, kerajaan Vietnam belum mengesahkan bila kesemua mayat itu akan mula dibawa pulang. - Agensi