Lelaki rugi RM290,565 terpedaya tawaran janji panjang umur

JAKARTA – Seorang lelaki di Jawa Timur, Indonesia dilaporkan kepada polis selepas didakwa mengaku sebagai Imam Mahdi dan menawarkan khidmat 'menambah umur' serta 'tiket masuk syurga' kepada pengikutnya dengan bayaran jutaan rupiah.
Lelaki yang dikenali sebagai FF itu disyaki menggunakan dakwaan berkaitan agama untuk mendapatkan wang daripada pengikutnya di Kabupaten Bangkalan.
Menurut laporan media tempatan, seorang pengikut dikenali sebagai Halimi mendakwa mengalami kerugian lebih 1.3 bilion rupiah (RM290,565) selepas menyerahkan wang secara berperingkat sepanjang beberapa tahun.
Peguam mangsa, Jailani Muhtadi berkata, FF didakwa menawarkan pelbagai perkhidmatan termasuk memanjangkan usia, menebus dosa dan menjamin keselamatan ahli keluarga di akhirat.
Suspek turut didakwa meminta pengikut membayar kafarah, yang digambarkan sebagai bayaran bagi menebus kesalahan dan memperoleh 'tiket ke syurga'.
Menurut Halimi, lelaki berkenaan mendakwa mampu menentukan jangka hayat seseorang, selain menakut-nakutkan pengikut dengan ancaman kematian sekiranya enggan membuat bayaran.
Halimi turut mendakwa pernah diminta menyerahkan tujuh juta rupiah (RM1,565) kononnya bagi menyelamatkan arwah abangnya daripada azab kubur.
Dakwaan penipuan itu dipercayai berlaku antara 2019 hingga 2025 sebelum Halimi membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Bangkalan pada 21 Oktober lalu.
Susulan laporan tersebut, polis telah memeriksa tiga saksi yang turut mendakwa menjadi mangsa bagi membantu siasatan.
Jurucakap Polis Bangkalan, Agung Intama mengesahkan pihaknya sedang menyiasat laporan berkenaan bagi menentukan sama ada wujud unsur jenayah penipuan atau pemerasan.
Sementara itu, Majlis Ulama Indonesia (MUI) Bangkalan turut meneliti dakwaan mengenai ajaran yang dibawa lelaki berkenaan dan mengingatkan masyarakat supaya tidak mudah terpedaya dengan ajaran yang bercanggah dengan syariat.
Bagaimanapun, pihak polis belum mengumumkan sebarang pertuduhan atau keputusan muktamad terhadap FF setakat laporan dikeluarkan. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
