Menyamar jadi juruterbang elak beratur panjang

Mahbubani memakai uniform juruterbang itu untuk mengelakkan daripada beratur panjang dan pemeriksaan keselamatan.
A
A

NEW DELHI - Seorang lelaki di New Delhi, India ditahan di pintu keluar Lapangan Terbang Indira Gandhi kerana menyamar sebagai juruterbang syarikat penerbangan Jerman, Lufthansa.

Rajan Mahbubani, 48, yang lengkap memakai uniform juruterbang melakukan penyamaran itu untuk mengelakkan daripada beratur panjang dan pemeriksaan keselamatan.

Menurut polis, Mahbubani ditahan Isnin lalu ketika cuba menaiki pesawat ke Kolkata dan dia kemudiannya diserahkan kepada polis di New Delhi.

Difahamkan, Pasukan Keselamatan Perindustrian Pusat (CISF) bertindak atas maklumat daripada Ketua Pegawai Keselamatan syarikat penerbangan itu yang memaklumkan terdapat penumpang yang disyaki menyamar sebagai juruterbang Lufthansa.

Mahbubani juga memiliki kad pengenalan palsu juruterbang Lufthansa dan menggunakannya untuk mendapatkan keistimewaan di lapangan terbang.

"Penumpang mendedahkan penyamar itu pernah muncul dalam video di YouTube dan mendapatkan kad pengenalan palsu di Bangkok," jelas pegawai CISF.

Selain YouTube, Mahbubani juga merakamkan video TikTok, sebuah aplikasi media sosial sambil memakai pakaian seragam.

"Dia mengaku sering memakai pakaian juruterbang untuk mendapatkan akses mudah semasa pemeriksaan keselamatan dan layanan istimewa daripada agensi keselamatan serta syarikat penerbangan," kata Timbalan Pesuruhjaya Polis Lapangan Terbang Indira Gandhi, Sanjay Bhatia. - Agensi