Singapura usir rakyat Hong Kong anjur pertemuan bincang protes

Alex Yeung diusir dari Singapura kerana menganjurkan pertemuan menbincangkan protes di Hong Kong. - Foto: YouTube
A
A

SINGAPURA - Singapura dilaporkan mengusir seorang bintang YouTube Hong Kong yang menganjurkan pertemuan membincangkan protes prodemokrasi yang melanda hab kewangan Asia itu.

Pihak polis menjalankan siasatan selepas Alex Yeung, seorang pengusaha restoran pro-Beijing yang terkenal kerana mengecam protes antikerajaan menerusi Youtube menganjurkan pertemuan dengan sekumpulan individu, kebanyakannya warga Hong Kong di sebuah bar bulan lalu.

Susulan siasatan, pihak polis memutuskan untuk memberi amaran kepada Yeung dan mengusirnya pulang ke Hong Kong.

Menerusi sebuah video dimuat naik selepas siasatan, Yeung menuduh penyokong protes memerangkapnya ketika pertemuan terbabit.

"Singapura menegaskan warga asing tidak harus mengetengahkan politik mereka di negara ini menerusi perhimpunan awam dan saluran lain yang diharamkan," kata kenyataan polis.

Penganjuran himpunan awam tanpa permit polis di Singapura boleh dikenakan denda sehingga S$5,000 (RM15,277) sementara kesalahan berulang boleh didenda sehingga S$10,000 (RM30,554) atau penjara maksimum enam bulan atau kedua-duanya sekali. - AFP