Jurukamera dimarah, diherdik ketika buat liputan

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang jurukamera sebuah stesen televisyen swasta diherdik dan diugut salah seorang tertuduh ketika membuat liputan berhubung keputusan kes rayuan dua anggota dan seorang pesara polis yang dituduh menerima suapan wang tunai.

Kejadian berlaku di luar kamar Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Bagaimanapun kekecohan tersebut ditenangkan ahli keluarga seorang tertuduh yang berada di pekarangan mahkamah itu.

Keputusan rayuan ketiga-tiga tertuduh ditangguhkan pada 26 November ini dan akan diputuskan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohd Yazid Mustafa.

Dalam pertuduhan sebelum ini, dua anggota dan seorang pesara polis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, terhadap tiga tuduhan menerima suapan wang tunai supaya tidak mengambil tindakan ke atas seorang suspek berkaitan kes dadah empat tahun lalu.

Tertuduh, Sarjan Azahar Adon, 56; Koperal Rosli Bali, 55, dan pesara polis Yusoff Ali, 60, membuat pengakuan itu di depan Hakim Mahkamah Sesyen, Asmadi Hussin.

Mereka yang berkhidmat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya dituduh memperoleh suapan RM5,000 daripada Mohd Rizal Jantan melalui Mariani Ismon supaya tidak mengambil tindakan terhadap lelaki itu yang disyaki memiliki dan mengedar dadah.

Ketiga-tiga tertuduh mengaku tidak bersalah setelah pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Asmadi Hussin.

Artikel Berkaitan:

Tertuduh dituduh melakukan kesalahan itu di kawasan pekarangan sebuah stesen minyak di Lebuhraya Damansara Puchong (LDP) Subang Jaya, kira-kira jam 5 petang, 22 April 2015

Mahkamah sebelum ini,membenarkan ketiga-tiga tertuduh diikat jamin sebanyak RM8,000 setiap seorang dengan seorang penjamin selain perlu melaporkan diri pada Isnin pertama setiap bulan di Pejabat SPRM Shah Alam.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 Kanun Keseksaan dan dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dimana boleh dipenjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana lebih tinggi.