Guna kereta sewa seludup daun ketum

Surina (kanan) menunjukkan daun ketum yang dirampas.
Surina (kanan) menunjukkan daun ketum yang dirampas.
A
A
A

PADANG BESAR - [DIKEMASKINI] Tiga kereta sewa yang membawa muatan 1,200 kilogram (kg) daun ketum bernilai RM219,000 berjaya ditahan sepasukan Anggota Kawalan sempadan (Aksem) selepas dikejar sejauh 10 kilometer di Jalan Kilang Gula di sini malam semalam.

Ketua Polis Perlis, Datuk Surina Saad berkata, pada jam 11 malam itu, pasukan Aksem terpaksa mengejar tiga kereta jenis Perodua Myvi berwarna putih berkenaan selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan.

"Pasukan Aksem akhirnya berjaya menahan tiga kereta berkenaan yang dinaiki lima lelaki di Jalan Padang Tebuan, Kubang Tiga di sini selepas 30 minit mengejar kenderaan tersebut.

"Hasil pemeriksaan menjumpai 400kg daun ketum dalam setiap kereta menjadikan jumlah keseluruhan 1,200kg," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Besar di sini hari ini.

Menurut Surina, kereta berkenaan dipercayai disewa dari Kuala Perlis untuk menyeludup daun ketum berkenaan Thailand melalui laluan tikus.

"Kadar upah diperoleh adalah RM2 bagi setiap sekilogram daun ketum.

"Suspek mendapatkan bekalan dari Kedah dan baru sahaja bergiat aktif dalam aktiviti penyeludupan daun ketum ini," katanya.

Beliau berkata, lima lelaki tempatan berusia 20 hingga 38 tahun itu direman empat hari bermula hari ini. "Kes disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

Artikel Berkaitan:

"Hukuman penjara maksimum empat tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali boleh dikenakan kepada pesalah jika disabitkan kesalahan," katanya.