Johor catat belanjawan lebihan 10 tahun berturut-turut

Sahruddin (tengah) ketika membawa embargo belanjawan negeri di sini hari ini.
A
A

KOTA ISKANDAR - Kerajaan Johor hari ini membentangkan Belanjawan 2020 berjumlah RM1.785 bilion iaitu peruntukan tertinggi dalam sejarah negeri itu dengan jangkaan lebihan sebanyak RM2.36 juta.

Pembentangan itu juga sekali gus menunjukkan Johor mencatatkan belanjawan lebihan bagi 10 tahun berturut-turut.

Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal berkata, bagi anggaran kutipan tahun hadapan, jumlah tersebut dijangka meningkat sebanyak 15.02 peratus berbanding 2019.

“Pertambahan anggaran kutipan hasil pada tahun itu juga adalah sebanyak RM233.22 juta yang mana sebanyak RM193.74 juta disumbangkan melalui kenaikan cukai tanah selepas kerajaan negeri memutuskan untuk melaksanakan semakan semula kadar cukai buat kali kelima.

“Ini juga menjadikan hasil keseluruhan daripada pentadbiran tanah berjumlah RM1.161 bilion selain pertambahan turut disumbangkan melalui pemberian kerajaan persekutuan yang meningkat sebanyak RM16.58 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Negeri Johor di Bangunan Sultan Ismail di sini hari ini.

Sahruddin berkata, kerajaan negeri juga telah memperuntukkan sejumlah RM963.13 juta bagi tujuan belanja mengurus.

Bagaimanapun katanya, peruntukkan itu tidak termasuk caruman kepada pelbagai Kumpulan Wang Amanah mengikut Seksyen 10, Akta Tatacara Kewangan 1957 [Akta 61].

“Pecahannya adalah membabitkan emolumen sebanyak RM515.95 juta, perkhidmatan dan bekalan (RM273.45 juta), aset (RM17.83 juta) dan perbelanjaan lain (RM155.90 juta)

“Selain itu, bagi perbelanjaan pembangunan, kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM780 juta melalui caruman kepada kumpulan wang pembangunan. Ia juga adalah peningkatan sebanyak RM180 juta berbanding tahun ini,” katanya.