X

Kindly register in order to view this article
!

Sabtu | 29 Januari 2022

Baru mencarum dua bulan, bapa pemandu e-hailing terima pencen

lk
A
A

KUALA LUMPUR - Waris seorang pemandu perkhidmatan e-hailing yang meninggal dunia pada 13 Oktober lalu menerima faedah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS).

Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), dalam satu kenyataan memaklumkan pencarum, Allahyarham Md Shanizam Saleh, 32, baru dua bulan mencarum.

Md Shanizam Saleh dilapor meninggal dunia akibat sesak nafas di dalam kenderaan ketika menunggu penumpang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Menurutnya, waris Allahyarham menerima cek Faedah Pengurusan Mayat berjumlah RM2,000 dan bayaran pencen Faedah Orang Tanggungan sebanyak RM558 sebulan seumur hidup.

“Arwah merupakan pemandu perkhidmatan e-hailing sepenuh masa dan mula mencarum sejak 15 Ogos lalu dengan jumlah caruman sebanyak RM19.40 sebulan atau RM232.80 setahun.

“Pihak kami dimaklumkan oleh bapanya bahawa arwah yang dijadualkan melangsungkan perkahwinan tahun hadapan tidak pernah menghadapi masalah kesihatan dan merupakan seorang anak yang baik dan berdikari,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu turut memaklumkan bayaran faedah tersebut disampaikan Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar kepada bapa Allahyarham, Saleh Abdul Manaf di i kediaman keluarga itu di PPR Pinggiran Bukit Jalil, semalam.

Perkeso turut memaklumkan sehingga September lalu, seramai 56,396 pemandu teksi, kereta sewa, e-hailing dan pemandu bas yang bekerja sendiri telah mendaftar dan mencarum di bawah SKSPS.

Menurut kenyataan itu, semua pemandu teksi, e-hailing dan bas yang masih belum mendaftar dan mencarum diminta segera berbuat demikian untuk kebajikan diri dan orang tanggungan.

“Kegagalan berbuat demikian boleh dikenakan tindakan undang-undang dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali,” menurut kenyataan itu.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!