Piala Dunia Boling: Natasha kembali berada di kedudukan teratas

Natasha Roslan
A
A

KEHADIRAN keluarga menjadi pencetus kebangkitan semangat Natasha Roslan selepas beliau berjaya menduduki kedudukan teratas dalam pusingan ketiga Piala Dunia Boling ke-55 di Bandar Sukan Jakabaring, Palembang, Indonesia hari ini.

Kehadiran bapanya, Mohamed Roslan Ismail, ibu Anita dan adiknya, Adilla menjadi perangsang utama kepada pemain elit boling kebangsaan, yang mencatatkan 215-166-210-226-222 dan 186, untuk mengumpul 3,766 jatuhan pin untuk merebut tempat teratas daripada pemain Amerika Syarikat Kelly Kulick yang mendahuluinya semalam, kini berada di kedudukan kedua dengan 3,360 jatuhan pin.

Pemain Rusia Maria Koshel naik dua tangga, ke tempat ketiga dengan jumlah keseluruhan 3,710 jatuhan pin.

Mengulas mengenai prestasinya, Natasha, yang bermula cemerlang dengan mendahului pusingan pertama pada Isnin, gembira dengan aksinya, dan menambah keluarganya telah membangkitkan semangat beliau untuk beraksi cemerlang dalam perlawanan hari ini.

“Penyokong utama saya (keluarga) berada di sini hari ini, dan saya lakukan balingan terbaik. Berada di kedudukan pendahulu adalah bonus dan saya dedikasikan kepada ibu bapa saya, tetapi seperti yang saya katakan sebelum ini, saya hanya mahu menumpukan permainan satu demi satu dan lakukan balingan terbaik.

“Mendahului pada peringkat awal tidak memberi banyak makna dalam kejohanan ini. Apa yang penting ialah bagaimana saya beraksi pada kedudukan paling penting, tetapi saya gembira saya terus kekal konsisten kerana sekiranya terkebelakang, ia akan menambahkan tekanan,” menurut Natasha dalam kenyataan yang dikeluarkan Kongres Tenpin Bowling Malaysia (MTBC) hari ini.

Sementara itu bagi kategori lelaki, pemain elit boling kebangsaan Adrian Ang masih lagi bergelut untuk mencari lorong terbaik dan turun tiga tangga, ke tempat ke-23 dengan 3,581 jatuhan pin.

“Saya rasa saya beraksi lebih baik, tetapi sama ada gagal melakukan strike atau apabila berjaya, gagal melakukan berterusan,” luah Ang dengan kecewa.

“Ini meletakkan saya dalam kedudukan yang goyah dan saya harus cuba sedaya upaya esok dengan cabaran menempatkan diri dalam kelompok 24 pemain teratas, saya perlu memperbaiki lagi permainan dan konsisten,” tambah pemain kelahiran Pulau Pinang ini, yang membuat penampilan ketiga pada Piala Dunia.

Beliau menamatkan perlawanan di kedudukan ke-17 dalam penampilan sulungnya pada 2006 di Venezuela dan ke-23 di Johannesburg, Afrika Selatan pada 2011.

Meraih kedudukan kedua pada Piala Dunia 2015, Francois Louw dari Afrika Selatan, mendahului di tempat pertama sejak hari pertama pertandingan pada Isnin, terus mengekalkan cengkamannya sebagai pendahulu dengan 4,210 jatuhan pin, kedua pemain Oliver Moring dari Jerman 3,900 jatuhan pin yang sebelum ini di tempat keempat.

Pemain Finland Niko Oksanen jatuh ke tempat ketiga dengan 3,807 jatuhan pin, manakala pemain veteran Indonesia Ryan Leonard Lalisang naik tiga tangga, ke kedudukan keempat dan berkongsi kedudukan itu bersama Jasem Alsaqer dari Kuwait dengan 3,796 jatuhan pin. - Bernama