X

Kindly register in order to view this article
!

Draf laporan audit 1MDB diserah kepada Najib, lima individu

A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa draf Laporan Pengauditan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) diserahkan kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan lima individu lain dua hari sebelum Mesyuarat Penyelarasan Laporan Pengauditan 1MDB diadakan.

Penyerahan laporan itu dibuat pada 22 Februari 2016 manakala mesyuarat yang dipengerusikan bekas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa diadakan pada 24 Februari 2016 di mana pindaan pada Laporan Pengauditan dilakukan selepas menerima arahan Najib.

Lima individu lain yang menerima draf laporan itu ialah bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy, bekas Ketua Setiausaha Sulit Najib, Tan Sri Shukry Mohd Salleh, Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang, Ali dan wakil daripada Jabatan Peguam Negara, Tan Sri Dzulkifli Ahmad.

Perkara itu diberitahu Pengarah Sektor Audit Tadbir Urus Jabatan Audit Negara (JAN), Nor Salwani Muhammad, 52, ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib pada hari ketiga perbicaraan Najib dan Arul Kanda berhubung dakwaan meminda laporan akhir audit 1MDB.

Ketika menjelaskan proses percetakan draf laporan akhir audit, saksi pendakwaan kelima itu berkata, draf laporan itu dihantar ke Percetakan Keselamatan Nasional Sdn Bhd untuk percetakan pada 20 Feb 2016 setelah diarahkan Ambrin.

"Percetakan ini siap pada 21 Februari 2016 dan disimpan di Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan Malaysia (CGSO) untuk tujuan keselamatan. Draf Laporan Akhir Audit 1MDB ini dicetak untuk dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC). Bagi percetakan pertama, sebanyak 60 laporan audit dicetak. Kesemua naskhah yang sudah dicetak dimasukkan ke dalam kotak.

"Kemudian pada 22 Februari 2016, saya mengambil 10 naskhah daripada CGSO dan saya menyerahkan enam laporan audit kepada Tan Sri Ambrin manakala empat lagi naskhah disimpan di dalam peti besi berpalang di Jabatan Audit Negara," katanya.

Tambah beliau, baki buku draf laporan audit masih berada di dalam kotak dan telah dilupuskan setelah mendapat arahan daripada Ambrin supaya mematuhi prosedur pelupusan pihak CGSO.

"Draf laporan pengauditan 1MDB yang dicetak telah diserahkan kepada Tan Sri Ambrin sebelum mengedarkannya kepada individu-individu lain," katanya.

Najib, 66, diwakili oleh peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, manakala Arul Kanda, 43, diwakili oleh peguam Datuk N. Sivananthan.

Najib didakwa atas pertuduhan menggunakan jawatannya bagi mengarahkan supaya Laporan Akhir Pengauditan 1MDB dipinda, sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), bagi mengelakkan sebarang tindakan terhadapnya.

Beliau didakwa, atas kedudukannya sebagai pegawai awam iaitu perdana menteri, menggunakan jawatannya untuk mendapatkan suapan bagi dirinya, iaitu perlindungan daripada tindakan yang bersifat tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB, dengan cara mengambil tindakan mengarahkan Laporan Akhir Pengauditan 1MDB, yang sedang disediakan, dipinda sebelum laporan itu dimuktamadkan dan dibentangkan kepada PAC, yang beliau secara langsung mempunyai kepentingan.

Najib didakwa melakukan kesalahan berkenaan di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya, antara 22 Feb 2016 dan 26 Feb 2016.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda minimum lima kali ganda jumlah atau nilai suapan, yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan dapat dinilai atau berbentuk wang atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Arul Kanda pula didakwa bersubahat dengan Najib, meminda laporan itu, bagi melindungi bekas perdana menteri itu daripada dikenakan tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB, di tempat dan masa sama mengikut Seksyen 28(1) (c) Akta SPRM 2009 dibaca bersama Seksyen 23 (1) & 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman serupa jika sabit kesalahan.

Terdahulu, rakaman audio mesyuarat yang dikaitkan dengan dakwaan meminda laporan akhir audit 1MDB, yang dipengerusikan Ali, diperdengarkan di Mahkamah Tinggi.

Ali mengenal pasti mereka yang menghadiri mesyuarat pada 24 Feb 2016 ialah Arul Kanda, Ambrin dan Saadatul Nafisah Bashir Ahmad daripada Jabatan Audit Negara (NAD), Shukry dan Datuk Seri Mohamad Isa Hussain daripada Perbendaharaan.

Semasa pemeriksaan utama oleh Datuk Seri Gopal Sri Ram, yang mengetuai pasukan pendakwaan, saksi keempat pendakwaan itu berkata beliau mencadangkan supaya dicari salinan lain Laporan Audit 1MDB semasa mesyuarat itu untuk memastikan hanya versi akhir dokumen itu sahaja yang wujud.

Sri Ram: Dalam rakaman itu, kamu menyebut tentang mencarik dokumen, apakah tujuan kamu membuat cadangan itu?

Ali: Sebab kesimpulan pada akhir (mesyuarat itu), tidak perlu ada dua atau tiga versi (Laporan Audit 1MDB). Jadi, apa juga versi akhir yang dipersetujui perlu tidak berubah.

Ali bagaimanapun berkata, beliau tidak pasti sama ada cadangan itu dilakukan atau tidak.

Selepas selesai pemeriksaan utama Sri Ram terhadap Ali, Muhammad Shafee dan Sivananthan memohon kepada mahkamah untuk menangguhkan pemeriksaan balas terhadap saksi itu kerana mereka perlu memeriksa dengan terperinci transkrip rakaman audio mesyuarat yang diserahkan kepada mereka oleh pihak pendakwaan.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan membenarkan permohonan itu selain turut membenarkan permintaan pendakwaan serta pembelaan supaya melapangkan perbicaraan pada Jumaat ini dan Isnin serta Selasa depan kerana Sri Ram dan Muhammad Shafee mempunyai urusan lain di mahkamah lebih tinggi.

Perbicaraan bersambung esok. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus