'Saya hanya tahu ia untuk pembinaan bangunan yayasan'

Narimah Miswadi
Narimah Miswadi
A
A
A

KUALA LUMPUR - Saksi keenam memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, dia hanya mengetahui tujuan pengeluaran wang melalui cek akaun Yayasan Akalbudi itu adalah untuk pembinaan sebuah bangunan milik yayasan itu di Bagan Datuk, Perak.

Pegawai Operasi Affin Bank cawangan Jalan Bunus, Kuala Lumpur, Narimah Miswadi berkata, beliau mengadakan pertemuan dengan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada 16 Jun 2016 di Kementerian Dalam Negeri, Putrajaya menggantikan Pengurus cawangannya, Masaayu Mohd Ariffin yang ketika itu sedang bercuti.

Narimah berkata, ketika berada di pejabat itu, dia dijemput Mejar Mazlina yang juga pembantu peribadi Ahmad Zahid masuk ke pejabat menteri itu dan semasa pertemuan itu, Ahmad Zahid mengarahkannya membuat penebusan semua akaun simpanan tetap Yayasan Akalbudi dan mengeluarkan Bankers Cek di atas nama Messrs Lewis & Co.

Menurutnya dalam kenyataan bertulis sebagai saksi kes itu, Ahmad Zahid ada memberitahunya bahawa tujuan pengeluaran wang itu adalah untuk membina sebuah bangunan yayasan itu di Bagan Datuk, Perak.

Narimah berkata, Mejar Mazlina kemudiannya menyediakan satu surat ditandatangani bekas Timbalan Perdana Menteri itu dan kemudian diserahkan kepadanya dan dia membuat catatan di atas surat itu.

Semasa disoal balas oleh peguambela, Datuk Ahmad Zaidi Zainal, adakah Narimah pasti pengeluaran wang itu untuk tujuan membina tahfiz dan masjid, Narimah menjawab dia tidak pasti.

Ahmad Zainal: Semasa perjumpaan itu siapa lagi yang ada ketika itu?

Narimah: Saya dan Datuk Seri sahaja. Manakala Puan Mazlina ada di luar bilik.

Artikel Berkaitan:

Ahmad Zainal: Puan setuju dengan saya sebenarnya yang dicerita mengenai pembinaan tahfiz dan masjid di Bagan Datuk, Perak?

Narimah: Saya tidak pasti, yang saya pasti Datuk kata untuk pembinaan bangunan Yayasan Akalbudi di Bagan Datuk, Perak.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung hari ini.