Melaka komited tingkat bidang Pendidikan Islam

Adly Zahari.
Adly Zahari.
A
A
A

MELAKA - Kerajaan Melaka sentiasa berusaha meningkatkan bidang Pendidikan Islam di negeri ini dan pelbagai penambahbaikan akan dilakukan dari semasa ke semasa bagi merealisasikan usaha itu termasuk melaksanakan program My-Insaniah.

Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari berkata, ia merupakan kursus jangka pendek yang diperkenalkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) melibatkan pelajar sekolah terpilih berumur 13 hingga 17 tahun seluruh Malaysia yang menekankan ilmu fardu ain dan al-Quran.

Katanya, selain mewajibkan murid-murid beragama Islam di peringkat rendah mengikuti pembelajaran Sekolah Rendah Agama (SRA), kerajaan negeri membuat penetapan agar Tadika JAIM (Jabatan Agama Islam Melaka) mengikut standard ditetapkan Kementerian Pendidikan Malaysia termasuk dari segi pengurusan dan kurikulum.

"Di samping itu kualiti pengajaran guru-guru di SRA dan Tadika JAIM di negeri ini juga sentiasa ditambah baik dengan mengadakan kursus-kursus pendek kepada mereka dari semasa ke semasa.

"Selain itu kerajaan negeri juga memperuntukkan bagi kerja-kerja penyelenggaraan sepanjang tahun ke atas sekolah-sekolah dan tadika berdasarkan permohonan yang dikemukakan bagi memastikan premis itu sentiasa berada dalam kondusi yang selesa," katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka di Ayer Keroh di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Seah Shoo Chin (DAP-Kesidang) yang ingin tahu mengenai cadangan penambahbaikan Tadika JAIM dan SRA selain perancangan memperkasa serta peruntukan yang diberikan kepada kawasan DUN Kesidang.

Adly berkata, kerajaan Melaka juga memperuntukkan RM445,667 bagi pengurusan dan pembangunan SRA dan Tadika JAIM di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kesidang sehingga Oktober lepas.

Katanya, daripada jumlah itu, RM384,912 disalurkan kepada SRA manakala RM60,755 untuk Tadika JAIM dan peruntukan pengurusan itu yang melibatkan gaji guru, elaun pentadbir, bantuan tuisyen, pembayaran utiliti dan sebagainya.

Artikel Berkaitan:

"Peruntukan bagi pembangunan pula melibatkan penyelenggaraan dan pembaikan kecil," katanya. - Bernama