Edar ganja: Sabitan, hukuman gantung terhadap mandur kekal

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - Mahkamah Persekutuan di sini hari ini mengekalkan sabitan dan hukuman gantung sampai mati ke atas seorang mandur atas dua tuduhan mengedar ganja seberat 37 kilogram.

Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Ahmad Maarop yang menyampaikan keputusan itu bersama lima daripada panel tujuh hakim memutuskan bahawa Hakim Mahkamah Tinggi tidak terkhilaf menggunakan Akta 37 (da) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dalam menjatuhkan hukuman ke atas Jazlie Jaafar, 45, bagi kedua-dua pertuduhan.

"Kami mendapati tidak ada salah arah atau kekhilafan yang boleh dirayu dalam keputusan hakim Mahkamah Tinggi. Meneliti rekod keterangan dan memeriksa penghakiman hakim Mahkamah Tinggi, kami berpuas hati bahawa sabitan dan (hukuman mati) terhadap Jazlie atas kedua-dua tuduhan itu adalah kukuh," kata Hakim Ahmad, yang akan bersara pada 24 November ini.

Beliau berkata, pihak pendakwaan boleh bergantung kepada Seksyen 36 ADB yang menyatakan bahawa beban bukti dipindahkan kepada tertuduh untuk membuktikan mereka mempunyai lesen untuk memiliki dadah.

Panel tujuh hakim itu turut dianggotai Hakim Besar Malaya Tan Sri Azahar Mohamed (ketika itu hakim Mahkamah Persekutuan), Hakim Besar Malaya ketika itu, Tan Sri Zaharah Ibrahim dan Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Rohana Yusuf, Datuk Abang Iskandar Abang Hashim, Datuk P. Nallini dan Tan Sri Ramly Ali, yang mendengar rayuan Jazlie enam bulan lepas.

Bagaimanapun, hanya lima anggota panel menyampaikan penghakiman hari ini kerana dua hakim (Zaharah dan Ramly) telah bersara.

Terdahulu, peguam Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Jazlie berhujah bahawa sebelum mahkamah membuat anggapan untuk mensabitkan seseorang tertuduh kerana mengedar dadah, pihak pendakwaan mesti membuktikan tiga unsur iaitu tertuduh didapati memiliki dadah, berat dadah dan harus menunjukkan bahawa tertuduh tidak mempunyai lesen untuk memiliki dadah.

Beliau berkata, keperluan di bawah Seksyen 37 (da) tidak dipenuhi kerana tidak ada keterangan menunjukkan sama ada Jazlie mempunyai lesen untuk memiliki dadah atau sebaliknya.

Artikel Berkaitan:

Berdasarkan fakta kes, sepasukan polis telah pergi ke sebuah rumah di Wangsa Maju dan menjalankan pemerhatian di depan rumah itu pada jam 3 petang, 11 Mac 2015.

Kira-kira 30 minit kemudian, Jazlie tiba dengan menunggang motosikal dan berhenti di seberang jalan seolah-olah menunggu seseorang. Pasukan polis menyerbu (Jazlie) serta menahannya dan hasil pemeriksaan badan ke atas Jazlie menemukan seketul kepingan mampat yang dibalut dengan foil aluminium yang disimpan di bahagian hadapan seluar Jazlie.

Ahli kimia mengesahkan kepingan itu adalah dadah jenis ganja seberat 1,013 gram.

Mengikut fakta kes itu lagi, Jazlie kemudian membawa polis ke rumah itu dan polis menemukan dua kotak plastik di sebuah bilik yang kemudiannya disahkan ahli kimia sebagai ganja seberat 35.6kg.

Mahkamah Tinggi sebelum ini telah mensabitkan dan menjatuhkan hukuman mati ke atas Jazlie. Lelaki itu merayu kepada Mahkamah Persekutuan selepas rayuannya ditolak oleh Mahkamah Rayuan.

Sementara itu, Hisyam memberitahu wartawan bahawa dia sedang menunggu arahan daripada anak guamnya sama ada mahu memfailkan semakan terhadap keputusan hari ini.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Dusuki Mokhtar. - Bernama