Kes Teoh Beng Hock: Polis panggil 14 saksi bantu siasatan

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis akan memanggil 14 lagi saksi bagi membantu siasatan kes kematian mendiang Teoh Beng Hock.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, 14 individu berkenaan terdiri daripada mereka yang pernah diambil keterangan sebelum ini serta saksi baru.

"Sebelum ini, kita sudah merakam keterangan daripada tujuh individu membabitkan lima saksi lama dan dua saksi baru bagi membantu siasatan kes berkenaan mengikut Seksyen 342 Kanun Keseksaan.

"Kita akan memanggil 14 lagi individu yang terdiri daripada rakan setugas mangsa dan Suruhanjaya Pencegahan Awam Malaysia (SPRM),” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini tadi.

Terdahulu, Pasukan Siasatan Khas ditubuhkan selepas Peguam Negara mengarahkan kes kematian mengejutkan Teoh disiasat semula mengikut Seksyen 342 Kanun Keseksaan (kurungan salah).

Ia susulan keputusan Mahkamah Rayuan yang memutuskan bahawa kematian mendiang adalah kesalahan jenayah iaitu akibat jatuh dari bangunan disebabkan tindakan didorong oleh seorang atau beberapa orang tidak dikenali.

Julai lalu, polis mengesahkan menerima arahan untuk membuka semula kertas siasatan terhadap kes kematian Beng Hock mengikut Seksyen 342 Kanun Keseksaan.

Beng Hock ditemui mati pada 16 Julai 2009, selepas ditahan SPRM dan mayatnya ditemui di tingkat 5, Plaza Masalam, Shah Alam.

Artikel Berkaitan:

Mendiang ditemui sehari selepas ditahan oleh SPRM, ketika siasatan dakwaan penyalahgunaan wang wakil rakyat di Selangor.