Husam layak ganti Wan Rahim

Husam - Foto ZAHID IZZANI
Husam - Foto ZAHID IZZANI
A
A
A

KOTA BHARU – Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Senator Datuk Husam Musa dilihat sebagai individu yang layak menggantikan Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Kelantan, Datuk Wan Rahim Wan Abdullah yang akan melepaskan jawatannya tidak lama lagi.

Ketua Pemuda Amanah Kubang Kerian, Abdullah Zawawi Wahab berkata, pihaknya menyokong penuh sekiranya pemimpin tersebut yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kelantan dan Penasihat Amanah Kelantan diangkat menerajui kepimpinan parti di peringkat negeri bagi sesi akan datang.

Menurutnya, pemilihan melalui Konvensyen Amanah Kelantan yang akan berlangsung Sabtu ini sudah tentunya akan menjadi satu titik permulaan kepada fasa baharu Amanah Kelantan bagi sesi 2019-2022.

“Pihak kami melihat apa yang dimiliki Datuk Husam, tidak kira sama ada pengalaman atau ketokohannya, memang selayaknya boleh menggantikan Datuk Wan Rahim.

“Walau bagaimanapun, semuanya terpulang kepada seluruh perwakilan untuk membuat keputusan terbaik bagi memastikan kelangsungan yang baik kepada parti selepas ini.

“Kepimpinan baharu yang dinamik dan boleh menarik sokongan rakyat Kelantan amatlah diperlukan. Datuk Husam Musa adalah tokoh yang memiliki ciri-ciri tersebut,” katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Menurutnya, Husam mempunyai cukup pengalaman dan berupaya merancang serta memacu gerakan Amanah Kelantan secara dinamik, lebih-lebih lagi pemimpin berkenaan juga mempunyai pasukan mantap yang boleh menyokong dalam melaksanakan kepimpinannya.

Dalam masa sama, beliau turut menjangkakan Timbalan Pengerusi Amanah Kelantan, Mohamad Hussin mungkin tidak mempunyai apa-apa halangan jika Husam mengepalai Amanah selepas ini.

Artikel Berkaitan:

“Apa pun, kita mahu merakamkan berjuta terima kasih kepada Datuk Wan Abdul Rahim yang telah banyak berkorban bagi mengasaskan dan membina Amanah Kelantan sebelum ini," katanya.