Perak buat SOP tiada lagi logo parti pada replika cek

Abdul Aziz ketika menjawab soalan lisan pada Sidang DUN Perak hari ini.
A
A

IPOH - Kerajaan Perak akan mewujudkan satu prosedur operasi standard (SOP) dalam penyediaan replika cek bagi memastikan tiada lambang parti disertakan terutama bagi majlis penyerahan di sekolah-sekolah.

Ia susulan teguran dibuat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kampung Gajah, Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin berkaitan penyampaian cek bantuan Kementerian Pendidikan di sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) di negeri ini yang mempunyai logo kementerian dan parti.

Wakil rakyat Barisan Nasional (BN) itu menyifatkan tindakan berkenaan tidak selari dengan pendirian kerajaan untuk tidak membenarkan unsur politik dibawa ke sekolah apatah lagi sumbangan disampaikan melibatkan dana awam.

Exco Pendidikan, Sains,Teknologi dan Alam Sekitar, Dr Abdul Aziz Bari berkata, pihaknya mengakui berlaku kekeliruan berhubung perkara itu namun memberitahu cek sebenar adalah mengikut format ditetapkan.

"Mengenai cek ini, saya akur akan perkara itu, ia sedikit sebanyak menimbulkan kekeliruan kerana membabitkan cek-cek kerajaan daripada dana awam.

"Kita berjanji akan buat satu SOP untuk menanganinya," katanya pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak hari ini.

Abdul Aziz berkata, perkara itu tidak perlu diperbesar kerana kebiasaan sama pernah dilakukan ketika BN menjadi kerajaan.

"Jika ada yang ketawa, BN dah lama buat benda ini...'satu lagi projek BN' dulu BN boleh buat begitu... jadi apa yang nak diperlekehkan kami sekarang ini," katanya.

Jawapan itu kemudiannya dibalas wakil rakyat pembangkang bahawa tiada pembaharuan dilakukan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) sekiranya masih mengamalkan perkara sama.

Dalam perkembangan lain, Abdul Aziz berkata, dalam tempoh Jun 2018 hingga Oktober tahun ini, kerajaan negeri telah menyampaikan bantuan pendidikan hampir RM8 juta kepada semua SJKC, sekolah jenis kebangsaan Tamil (SJKT), sekolah menengah jenis kebangsaan, sekolah mubaligh dan Sekolah Menengah Poi Lam (SUWA).

Katanya, bantuan Kementerian Pendidikan tahun lalu pula memperuntukkan sebanyak RM4.9 juta kepada 185 SJKC dan RM3.3 juta kepada 17 sekolah menengah jenis kebangsaan di seluruh negeri.

"Peruntukan di bawah Tabung Penyelenggaraan ini bagi menampung sebahagian kos penyelenggaraan yang melibatkan sekolah bantuan kerajaan (SBK) bagi menaik taraf infrastruktur sekolah, pembaikan, penyelenggaraan, pendawaian elektrik, rawatan anai-anai dan sebagainya yang diperlukan pihak sekolah," katanya.