Petronas diarah bayar bekas pekerja RM1.13 juta sebab pecat tanpa sebab

A
A
A

SHAH ALAM - Mahkamah Perusahaan Malaysia mengarahkan sejumlah RM1.13 juta dibayar kepada seorang bekas pekerja Petroliam Nasional Bhd (Petronas) setelah mendapati syarikat itu bersalah memecat kakitangan berkenaan.

Menurut laporan theedgemarkets.com, berdasarkan keputusan mahkamah, bekas pekerja itu, Norain Redzkiah Osman Salleh diberhentikan Petronas pada Disember 2017 kerana didakwa tidak memberikan prestasi yang lebih baik selepas dia diberikan 'Pelaksanaan Peningkatan Prestasi' (PIP) selama enam bulan.

Berdasarkan keputusan yang dibaca, Norain telah berkhidmat dengan Petronas selama 24 tahun setelah menyertai syarikat itu pada tahun 1993, sehingga tarikh pemecatannya pada Disember 2017. Sejak diberhentikan, dia gagal mendapatkan pekerjaan.

Noraini mendakwa pemecatannya daripada pekerjaan itu dibuat tanpa sebab dan alasan dan memohon pengembalian semula ke kedudukan terdahulu tanpa kehilangan upah, elaun, 'seniority' dan keistimewaan.

Hakim mahkamah memutuskan bahawa Norain diberhentikan tanpa sebab dan alasan.

Berdasarkan kesemua fakta kes tersebut, mahkamah juga menambah bahawa untuk Norain kembali kepada kedudukannya di Petronas adalah 'bukan satu penyelesaian yang sesuai dalam kes ini memandangkan matriks fakta kes ini.

Berdasarkan gaji bulanan yang ditarik oleh Norain sebanyak RM25,769, maka mahkamah mengarahkan Petronas membayarnya RM1.13 juta, yang terdiri daripada backwages sebanyak RM515,380 dan pampasan sebagai ganti pengembalian semula sebanyak RM618,456.

"Mahkamah ini telah menilai semua bukti sebelum mahkamah mendapati bahawa PIP yang dilakukan terhadap pihak yang menuntut tidak menyatakan bahawa pihak yang menuntut adalah seorang yang berprestasi tidak baik sehingga mendapat hukuman pemecatan daripada kerja dengan syarikat itu," menurut keputusan itu.

Artikel Berkaitan: