Ibu sebak anak tak sempat terima ijazah sarjana

Ibu kepada Allahyarhamah Nur Filzah Zainal, Jamah Ismail (tengah) menunjukkan gambar anaknya pada Istiadat Konvokesyen Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) kali ke-21 di Dewan Tuanku Canselor Kampus Sultan Azlan Shah UPSI hari ini. -Foto Bernama
Ibu kepada Allahyarhamah Nur Filzah Zainal, Jamah Ismail (tengah) menunjukkan gambar anaknya pada Istiadat Konvokesyen Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) kali ke-21 di Dewan Tuanku Canselor Kampus Sultan Azlan Shah UPSI hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

TANJUNG MALIM - Ibu kepada seorang penerima Ijazah Sarjana Pendidikan (Pengajian Kokurikulum), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) tidak dapat menahan kesedihan kerana tidak dapat melihat anak perempuannya, Nur Filzah Zainal menaiki pentas menerima segulung ijazah sarjana pada majlis konvokesyen universiti berkenaan.

Jamah Ismail, 67, berkata, anak kedua daripada lima beradik itu meninggal dunia di kediaman keluarga mereka di Lembah Keramat, Kuala Lumpur pada 20 Mei lepas akibat leukemia pada usia 40 tahun.

Allahyarhamah adalah seorang guru Matematik dan Sains di Sekolah Menengah Kebangsaan Behrang 2020 di sini meninggalkan suami, Shahrul Nizam Ramli, 33, serta lima anak iaitu empat perempuan dan seorang lelaki yang berusia antara 15 hingga dua tahun.

"Sudah tentu mak cik menangis semasa melihat suami arwah mengambil ijazah itu kerana sepatutnya dia yang ambil tetapi apakan daya ajalnya sudah sampai dahulu.

"Arwah ada memberitahu kepada kami sekeluarga yang dia mahu melanjutkan pengajian di peringkat Doktor Falsafah (PhD) selepas ini di UPSI, namun apakan daya hasrat arwah tak kesampaian," katanya ketika ditemui Bernama selepas Istiadat Konvokesyen UPSI Kali Ke-21 di Kampus Sultan Azlan Shah, Proton City di sini hari ini.

Jamah berkata, Allahyarhamah Nur Filzah adalah seorang wanita yang sangat tabah kerana tetap meneruskan pengajiannya walaupun mengetahui dirinya menghidap penyakit kritikal sejak Ogos tahun lepas.

"Dia tetap menyiapkan tesis walaupun dalam keadaan bertarung dengan penyakit, dia tak tunjuk sakit malah dia nampak sangat kuat," katanya menambah arwah berhasrat menjadi seorang pensyarah di UPSI selepas tamat pengajian di peringkat PhD.

Ijazah sarjana berkenaan disampaikan oleh Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim yang juga Canselor UPSI kepada suami Nur Filzah, Shahrul Nizam yang mewakili Allahyarhamah.

Artikel Berkaitan:

Istiadat konvokesyen kali ini menyaksikan seramai 4,985 graduan terdiri daripada 108 ijazah Doktor Falsafah, 993 ijazah sarjana, 2,610 ijazah sarjana muda, 201 Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah dan 1,073 diploma menerima sijil masing-masing selain 22 anugerah kepada 51 graduan cemerlang.

Konvokesyen kali ini turut menyaksikan seorang tokoh pendidikan iaitu Allahyarham Datuk Mohamed Yunus Raiss Mohd Isah dan enam graduan universiti itu termasuk Nur Filzah menerima penganugerahan Ijazah Sarjana dan Ijazah Sarjana Muda secara anumerta. - Bernama