Keadaan semasa tak dapat tentukan peralihan kuasa: Dr Mahathir

Dr Mahathir berucap pada Majlis Perasmian Penutup Program Multaqa Ulama Asia Tenggara 2019 di Pusat Konvensyen dan Hotel Movenpick hari ini. 
-Foto Bernama
A
A

SEPANG - Keadaan semasa negara pada masa kini tidak dapat menentukan proses peralihan kuasa kepada pemimpin seterusnya.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, peralihan kuasa itu akan berlaku apabila apabila sampai masanya.

"Kita belum tahu lagi keadaan negara sekarang ini sama ada bersedia untuk peralihan pentadbiran atau tidak.

"Bila sampai masanya kita tentukanlah," katanya kepada pemberita selepas merasmikan gimik pra pelancaran Multaqa Ulama Sedunia di sini hari ini.

Terdahulu beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan bekas Timbalan Presiden PKR, Syed Husin Ali menyifatkan kekalahan PH di PRK Tanjung Piai adalah referendum terhadap kerajaan pimpinan Mahathir.

ARTIKEL BERKAITAN: Tun M perlu berani rombak Kabinet, kata Rais

Berhubung kenyataan beberapa ahli Parlimen PH yang menyalahkan beliau sebagai punca kekalahan tersebut, Mahathir berkata: "Mungkin salah saya. Mana saya boleh tahu," katanya.

Sebelum ini, Ketua Badan Pimpinan Bersatu Negeri Sembilan, Tan Sri Dr Rais Yatim menyifatkan kekalahan PH di Tanjung Piai menunjukkan rakyat sudah muak dengan kerajaan hari ini.

Ahad lalu, Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong turut berkata kekalahan teruk PH di Tanjung Piai boleh menandakan bermulanya pengakhiran PH atau ia dapat menjadi suatu permulaan baru bagi pakatan parti pemerintah itu.

Tanjung Piai menjadi milik BN apabila calonnya, Datuk Sri Dr Wee Jeck Seng berjaya merampas kerusi tersebut dengan 25,466 undi berbanding calon PH, Karmaine Sardini yang memperoleh 10,380 undi.