Perkeso bantu pemandu lori dirempuh kereta

Rafidah menyampaikan pampasan hilang upaya sementara kepada Mukhtar.
Rafidah menyampaikan pampasan hilang upaya sementara kepada Mukhtar.
A
A
A

GEORGETOWN - Nasib pemandu lori syarikat pembersihan yang kudung sebelah kaki selepas dirempuh sebuah kereta Jumaat lalu mendapat perhatian dari Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Pengurus Pejabat Perkeso Georgetown, Rafidah Abdul Rahim berkata, Mukhtar Bahari, 62, layak menerima faedah daripada Perkeso selepas dia mengalami kecacatan kekal disebabkan kaki kirinya terpaksa dipotong akibat kemalangan ketika sedang menjalankan tugas.

Menurutnya, untuk permulaan Perkeso memberikan pampasan hilang upaya sementara kepada Mukhtar iaitu bayaran 80 peratus daripada gaji yang diterima sebelum ini selama tempoh dia bercuti sakit.

Selain itu, Perkeso turut memberikan kerusi roda dan lampin pakai buang untuk kegunaannya yang sehingga kini masih terlantar di Hospital Pulau Pinang.

"Buat masa ini kita berikan pampasan hilang upaya sementara kepada Mukhtar sebanyak RM44 sehari sepanjang dia dalam tempoh cuti sakit.

"Selepas habis cuti sakit kita akan sambung memberi faedah hilang upaya kekal dan jemaah doktor akan buat taksiran sebelum kita memberikan pencen kepada Mukhtar," katanya ketika ditemui di Hospital Pulau Pinang di sini hari ini.

Sementara itu Mukhtar yang ditemui berkata, dia berterima kasih kepada semua pihak kerana membantu dirinya sejak hari pertama terlibat dalam kemalangan terbabit.

Menurutnya, walaupun perit dengan dugaan yang dihadapi namun dia reda dengan apa yang berlaku sehingga kaki kirinya terpaksa dipotong.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, bapa kepada dua orang anak itu berharap tindakan sewajarnya dapat dikenakan terhadap pemandu kereta yang merempuhnya.

"Kejadian itu berlaku dalam sekelip mata ketika saya turun untuk memeriksa kerja memungut sampah oleh rakan sekerja di belakang lori.

"Memang tak sempat nak mengelak, saya tersepit di bawah kereta sebelum pasukan bomba bantu untuk keluarkan dan tengok kaki dah cedera parah," katanya.

Mukhtar berkata, dia bekerja sebagai pemandu lori di syarikat pembersihan berkenaan sejak 35 tahun lepas dan kini terpaksa berehat berikutan keadaan dirinya.

Dalam kemalangan jam 6.50 pagi Jumaat lalu, Mukhtar parah di bahagian kaki kiri selepas dirempuh kereta dipandu wanita Vietnam itu.

Ketika kejadian mangsa sedang mencuci bahagian belakang kenderaannya itu yang di parkir di bahu jalan di Jalan Anson.

Berikutan kejadian itu, Kaki kiri Mukhtar terpaksa dipotong daripada bahagian paha berikutan tulangnya hancur.