Isu minyak sawit: Negara mohon WTO campur tangan

Dr Mahathir (tengah) ketika merasmikan Kongres dan Pameran Minyak Sawit Antarabangsa 2019 di Kuala Lumpur semalam.
Dr Mahathir (tengah) ketika merasmikan Kongres dan Pameran Minyak Sawit Antarabangsa 2019 di Kuala Lumpur semalam.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia dan Majlis Negara-negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC) akan meminta campur tangan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) mengambil tindakan terhadap pihak yang membantah perdagangan minyak sawit di Eropah.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, usaha meningkatkan kempen kesedaran terhadap pihak berkepentingan di peringkat global mengenai perladangan kelapa sawit yang mampan sedang diteruskan.

Menurutnya, usaha itu bagi menentang dakwaan palsu dan agenda sesetengah pihak yang membawa kepada diskriminasi oleh negara pengimport sawit.

“Jika sesetengah negara pengimport memilih untuk mengenakan halangan perdagangan yang diskriminatif terhadap negara pengeluar minyak sawit, kami tidak boleh berdiam diri dan tidak ragu-ragu untuk mengambil tindakan tegas.

“Sekiranya ada sebarang bukti amalan perdagangan berdiskriminasi seperti itu melanggar mana-mana undang-undang antarabangsa, Malaysia dan negara pengeluar lain yang berada di bawah CPOPC perlu mendapatkan intervensi daripada WTO," katanya pada Kongres dan Pameran Minyak Sawit Antarabangsa (PIPOC) 2019 anjuran Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) di sini hari ini.

Dr Mahathir berkata, tahun lalu sebanyak 72 juta tan minyak sawit dihasilkan menjadikannya sebagai minyak sayuran tertinggi didagangkan di seluruh dunia, berbanding sebanyak 25 juta tan minyak kacang soya dan rapeseed yang dihasilkan bagi tempoh yang sama.

"Malah, sebanyak RM65.7 bilion nilai eksport kepada negara pengeluar produk sawit seluruh dunia dicatatkan pada 2018," katanya.

Sehubungan itu, Dr Mahathir menggesa semua pengusaha dan negara pengeluar perlu berterusan menyokong serta berkempen mengenai produk sawit sebagai usaha menepis sebarang diskriminasi oleh pihak tertentu.

Artikel Berkaitan: