Hanya bincang masa depan negara, kurangkan 'politiking'

Kamarudin Jaffar - Foto fail
Kamarudin Jaffar - Foto fail
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pertemuan melibatkan beberapa Ahli Parlimen di kediaman rasmi Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali malam tadi tidak membincangkan apa-apa perkara penting.

Maklumat itu dikongsi Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Kamarudin Jaffar yang turut mengesahkan pertemuan itu memang berlaku malam tadi.

“Tiada apa yang penting, yang kita bincangkan tentang masa depan negara, perlunya perpaduan negara, perlunya diredakan dan dikurangkan ‘politiking’ antara ahli politik dan menumpukan pembangunan dan kestabilan politik, masa depan negara.

“Dan juga dibincang atau diberi taklimat tentang Dasar Kemakmuran Bersama,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.

Ketika ditanya adakah perjumpaan itu berkisar kepada sokongan agar Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kekal mentadbir negara selama sepenggal, Kamarudin menegaskan perkara itu tidak dibincangkan.

“Tak, Tun (Dr Mahathir) itu tidak dibincangkan, UMNO dah keluar kenyataan beberapa kali, Pas dah keluar kenyataan beberapa kali.

ARTIKEL BERKAITAN: Anwar gesa Azmin hadir mesyuarat, beri penjelasan

Mohamed Azmin jumpa Ahli Parlimen PH, BN di Putrajaya malam ini

Artikel Berkaitan:

“(Semalam ada sebut tak?) Tak perlu lagi bincang dah, dah diumumkan. Setiausaha Agung Pas dah umum lama dah dia sokong Dr Mahathir sepenggal.

“UMNO pun umum lama dah sokong Dr Mahathir satu penggal, bukan isu yang ada pertelingkahan atau perlu bincang,” katanya.

Malam tadi beberapa Ahli Parlimen dari Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) mengadakan pertemuan di kediaman rasmi Mohamed Azmin.

Antara yang hadir ialah Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin, Mastura Mohd Yazid (BN-Kuala Kangsar), Datuk Abdul Rahman Mohamad (BN-Lipis) dan Datuk Seri Ismail Abd Muttalib (BN-Maran).

Pemimpin lain yang turut hadir ialah Datuk Seri Ahmad Hamzah (BN-Jasin), Datuk Seri Shahidan Kassim (BN-Arau); Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said (BN-Kuala Krau) dan Datuk Hasbullah Osman (BN-Gerik).

Ahli Parlimen Cameron Highlands, Ramli Mohd Nor yang turut hadir ketika diminta mengulas lanjut mendakwa tiada apa-apa yang dibincangkan dalam pertemuan berkenaan.