X

Kindly register in order to view this article
!

AS anggap penempatan haram Yahudi sebagai 'sah'

Lebih 600,000 pendatang Yahudi kini tinggal di Tebing Barat dan Baitulmaqdis.
A
A

WASHINGTON - Amerika Syarikat (AS) tidak lagi percaya penempatan haram Israel di wilayah Palestin sebagai tidak sah.

Pengumuman kontroversi itu dibuat Setiausaha Negara, Mike Pompeo semalam di bawah langkah pro-Israel terbaharu selepas ia memindahkan Kedutaan AS ke Baitulmaqdis pada Mei lalu.

Kenyataan itu meletakkan Washington kini berada di pihak berlawanan dengan kesemua negara antarabangsa termasuk Resolusi Majlis Keselamatan PBB, namun disambut baik Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu yang merupakan sekutu rapat kepada Presiden Donald Trump.

Menurut Pompeo, keputusan itu kononnya dibuat selepas mengkaji dengan teliti kesemua perdebatan undang-undang yang mana AS telah menyimpulkan bahawa penubuhan penempatan haram Israel di Tebing Barat adalah selaras dengan undang-undang antarabangsa.

"Dasar tersebut mencerminkan sejarah sebenar bahawa orang Yahudi bukan pendatang asing di Judea dan Samaria. Kami dipanggil Yahudi kerana kami orang Judea," katanya menggunakan istilah Judea dalam kitab Bible yang merujuk kepada Tebing Barat.

Langkah itu dilihat dapat mengembalikan semula sokongan kepada Netanyahu berikutan pesaingnya, Benny Gantz mempunyai baki tempoh dua hari lagi untuk menubuhkan kerajaan perpaduan selepas beliau gagal berbuat demikian.

Pompeo bagaimanapun menafikan langkah itu bertujuan untuk menaikkan semula populariti Netanyahu.

"Ia tiada kaitan dengan politik domestik Israel atau sebaliknya," katanya.

Sementara itu, jurucakap Presiden Palestin, Nabil Abu Rudeinah menegaskan AS tidak ada hak atau kuasa untuk membatalkan resolusi undang-undang antarabangsa itu.

"Ia tidak mempunyai hak untuk memberikan hak sah kepada penempatan haram Yahudi," ujarnya.

Beberapa resolusi Majlis Keselamatan PBB termasuk paling terbaharu pada 2016 menetapkan penempatan haram Israel sebagai tidak sah di bawah undang-undang antarabangsa berikutan ia melanggar Konvensyen Geneva Keempat yang melarang kuasa penjajah memindahkan populasi penduduknya ke kawasan yang diduduki. - Agensi


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!