X

Kindly register in order to view this article
!

Prosiding kes rogol Exco Perak sekali lagi ditangguh

A
A

IPOH - Mahkamah Tinggi Ipoh menetapkan 26 November ini bagi mendengar permohonan pihak pembelaan untuk memindahkan kes rogol membabitkan Exco Kerajaan Negeri Perak, Paul Yong Choo Kiong ke Mahkamah Tinggi.

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Mohd Radzi Harun membuat keputusan itu selepas pihak pembelaan memohon penangguhan prosiding itu apabila Paul Yong yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh perlu menghadiri sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) yang berlangsung sehingga Jumaat ini.

Timbalan Pendakwa Raya, Ainul Wardah Shahidan ketika ditemui berkata, prosiding hari ini adalah bagi mendengar permohonan pihak pembelaan untuk kes itu dibicarakan di Mahkamah Tinggi Ipoh.

“Atas permohonan pihak pembelaan hari ini juga, mereka memohon satu penangguhan dan Mahkamah Tinggi telah membenarkan permohonan itu.

“Dalam permohonan ini, mereka ada memfailkan afidavit sokongan dan kami sebagai pihak responden akan memfailkan afidavit jawapan ini esok setelah menerima permohonan itu pada 15 November lalu,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Paul Yong teruskan tugas sehingga dipanggil bicara

Sementara itu, peguam, Farhan Sapian berkata, pada tarikh tersebut akan ada hujahan dari kedua-dua pihak bagi permohonan kes itu dipindahkan dan didengar dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.

Rabu lalu, Mahkamah Sesyen membenarkan penangguhan perbicaraan kes rogol tersebut apabila pihak pembelaan diketuai Datuk Rajpal Singh memfailkan permohonan memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi mengikut Seksyen 417 Kanun Tatacara Jenayah.

Pada 23 Ogos lalu, Paul Yong didakwa merogol pembantu rumahnya di sebuah bilik di tingkat atas kediamannya di Jalan Desa Meru 2, Taman Desa Meru, dekat Ipoh antara jam 8.15 malam hingga 9.15 malam, 7 Julai lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara hingga 20 tahun dan dikenakan sebat.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus