Kes UIAM buang replika keris

A
A
A

'KETUANAN Melayu hilang di UIAM!' Itulah reaksi sebahagian netizen apabila tersebar gambar replika keris diturunkan daripada takhtanya di pintu masuk Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Sebenarnya UIAM tidak dan sekali-kali tidak membuang keris.

UIAM hanya mengubah kedudukan keris ke tempat lain dalam kampus iaitu di taman replika rumah kampung Melayu. UIAM menggantikan tempat asal keris dengan replika yang lebih afdhal iaitu al-Quran. Apakah ini salah?

Perlu diambil kira bahawa keris itu adalah keris yang dipasak tetapi tidak bersarung. Apakah maknanya? Bersedia dan terhunus untuk serang? Teroris? Atau bersedia untuk menakluk dunia ilmu dengan aman?

Bagi yang faham falsafah Melayu, sudah tentu ia membawa idea bahawa perjuangan belum selesai dan mesti diteruskan. Ia sama sekali tidak membawa makna terorisme atau ekstremisme.

Tapi UIAM adalah sebuah organisasi antarabangsa, maka apa pandangan pelawat daripada pelbagai negara dan budaya? Seorang pensyarah memberitahu saya bahawa ada pelawat yang rasa pelik dan tanya 'why knife?'

Berapa pelawat yang akan kaitkan dengan knife (pisau)? Sejauh manakah kita mampu jelaskan kepada semua pelawat?

Wujud kerisauan yang perlu diambil kira bahawa kemungkinan besar ia akan ditafsirkan sebagai terorisme oleh yang tidak faham falsafah Melayu. Risiko itu adalah realistik kerana dunia dilanda islamophobia yang begitu tinggi yang dimainkan oleh kuasa-kuasa politik yang besar.

Maka apabila meletakkan replika keris yang bentuknya jauh lebih besar daripada replika al-Quran pada pintu masuk utama UIAM, risikonya semakin tinggi apabila pelawat tertanya 'adakah ini Universiti Al-Quran atau Universiti Knife?'

Artikel Berkaitan:

Tetapi bagi Melayu Muslim yang faham falsafah keris, barangkali berat baginya untuk menurunkan keris daripada takhtanya di pintu masuk utama kerana seolah-olah ia menghilangkan ketuanan Melayu. Tetapi bagi yang faham masalah dakwah pada zaman globalisasi ini, zaman pasca kolonialisme ini, zaman islamofobia yang tinggi ini, mereka tidak akan pula berburuk sangka kepada usaha UIAM mengantikan tempat keris dengan replika kitab al-Quran.

Mana yang lebih sesuai? Keris yang terbuka sarung bersedia untuk berlawan atau kitab al-Quran yang terbuka bersedia untuk dibaca? Pena adalah lebih tajam daripada keris. Dalam surah Al-'Alaq, ALLAH SWT memberitahu bahawa ALLAH mendidik dengan qalam (pena). Qalam adalah simbolik kepada ilmu. Mungkin yang lebih quranik ialah replika pena. Mungkin perkataan qalam boleh dikaitkan dengan 'penulisan atau khat, maka replika kitab al-Quran yang dipenuhi dengan khat adalah simbolik kepada makna qalam itu.

Tambahan pula, replika kitab al-Quran adalah lebih bertepatan dengan falsafah pendidikan UIAM yang berdasarkan aurah Al-'Alaq mengenai keutamaan Iqra' (bacalah) dan ilmu. Memang keris membawa konsep usaha gigih, berani dan jihad tetapi adakah keris secara zahirnya membawa makna membaca dan ilmu?

Sejauh manakah masyarakat dunia memahami replika keris atau pedang sebagai simbolik kepada ilmu jika dibandingkan dengan replika kitab atau buku? Manakah yang secara kebiasaannya dikaitkan dengan ilmu bagi umat manusia sejagat?

Mesej sejagat yang mudah difahami oleh semua perlu diutamakan pada pintu masuk utama UIAM kerana usaha umat ialah Rahmatan Lil-'Aalamiin. Replika perlu membawa makna simbolik yang sejagat supaya tidak menimbulkan kekeliruan di persada multibudaya.

Walaupun replika keris perlu difahami secara mendalam tetapi ia lebih bersifat lokal dan khusus kepada pemahaman kaum Melayu dan bukan masyarakat multibudaya. Tidak kira penganut agama apa pun, penganut ideologi apa pun, apabila seseorang melihat replika buku, sudah tentu akan terbayang dalam mindanya perkataan ilmu dan membaca.

Walaupun ada pihak yang akan kata ia hanya soal simbolik sahaja, maka tidak perlulah dibincangkan tetapi sebenarnya perkara simbolik memang fitrah kemanusiaan kerana manusia adalah haiwan aestetik. Itulah sebab kita tidak pakai kain pelikat dan selipar jepun ke mesyuarat yang formal kerana pakaian adalah simbolik yang penting.

Moga ALLAH SWT berkati usaha Rektor dan UIAM.

*Xifu Naser ialah Pensyarah Pemikiran Kreatif Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)