X

Kindly register in order to view this article
!

Bomba cipta alat MRT dengan kos hanya RM750

Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu bersama MRT yang menjadi kebanggaan mereka.
A
A

KUALA TERENGGANU - Kerap mengendalikan kes mangsa terperangkap di hutan dan gunung mendorong sekumpulan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu untuk mencipta alat menyelamat pelbagai fungsi (MRT).

Lebih istimewa, MRT merangkumi enam alat dalam satu beg yang mudah dibawa secara ‘backpack’ iaitu kerusi roda, ‘stretcher’, tangga, tangga sigar, galah dan ‘camp bed’.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu, Timbalan Penguasa Bomba Rozizah Abni Hajar berkata, MRT amat penting dan berguna kepada pasukan penyelamat apabila terpaksa berdepan dengan situasi kecemasan tetapi jentera pasukan tidak dapat masuk ke lokasi.

“Kita selalu berdepan dengan situasi peserta ‘hiking’ atau rekreasi yang cedera atau terperangkap di kawasan hutan atau gunung. Ada kalanya lokasinya jauh ke dalam, tapi kita tidak tahu bagaimana keadaan mangsa atau tahap kecederaan yang dialami.

“Ia memberikan kami idea semasa mencipta MRT ini. Kita membangunkannya bermula Februari lalu dan mula menggunakannya bulan lalu. Alat ini juga telah menjalani proses uji cuba dengan beberapa agensi berkaitan seperti Angkatan Pertahanan Awam Negeri Terengganu, Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia Negeri Terengganu (Jupen) dan Persatuan Penggerak Rekreasi Negeri Terengganu,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Mengulas lanjut Rozizah yang bertindak sebagai penasihat bagi projek itu berkata, MRT dibangunkan bersama PBK II Mokhtar Dollah (fasilitator), PBK II Ismail A Wahab (ketua kumpulan) dan PB Yusman Ali, PB Mohamed Yusof Yassin, PB Mohd Hasmawi Hashim, PB Azhar Mohamed, PB Syahmi Roslam, PB Mohd Ghazali Mahmood, PB Mohd Azam Sulaiman dan PB Mohd Faizal Mohd Yusof.

Katanya, alat itu dibangunkan hanya dengan kos RM750 dan turut mendapat khidmat nasihat dan ulasan dari Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM).

“Paling menggembirakan kami apabila MRT diiktiraf dan berjaya menjadi johan kategori primer pada Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) dan Inovasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia 2019 yang berlangsung di Selangor minggu lalu.

“Kami berjaya membawa pulang wang tunai RM5,000, piala pusingan dan iringan dan disampaikan sendiri oleh Ketua Pengarah JBPM, Datuk Mohammad Hamdan Wahid,” katanya.

Lebih membanggakan Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu juga diberikan penarafan lima bintang bagi balai cemerlang.

Penarafan itu dibuat berdasarkan dokumentasi, pentadbiran balai, program dan aktiviti bagi meningkatkan prestasi anggota, kebersihan balai dan persekitaran, keceriaan balai, kompetensi dan pengetahuan anggota dan disiplin anggota.

Kejayaan itu membolehkan mereka membawa pulang RM1,000 dan sijil pengiktirafan lima bintang.