'BN jangan selesa menang di Tanjung Piai'

Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri
Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri
A
A
A

ALOR SETAR - Barisan Nasional (BN) tidak seharusnya selesa dengan kemenangan di Parlimen Tanjung Piai biarpun trend peti undi saluran orang muda menunjukkan golongan itu kembali memberikan sokongan kepada parti itu.

Ketua Penerangan Pemuda UMNO Kedah, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri berkata, analisis menunjukkan bukan sahaja undi Melayu menyokong BN malah pola pengundian majoriti anak muda Cina dan India beralih menyokong pembangkang.

Menurutnya, satu analisis terperinci perlu dilakukan bagi mengkaji apa sebenarnya yang berlaku sehingga membawa kepada perubahan besar pengundian kepada BN.

“Ini penting supaya kita dapat jadikan ia sebagai ‘resipi’ sekiranya berlaku lagi Pilihan Raya Kecil (PRK) selain persediaan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15). Hasil analisis keputusan Tanjung Piai ini penting kerana memberi gambaran kedudukan sokongan bagi kerusi posisi kaum bercampur,” katanya dalam satu kenyataan.

Syed Mohd Johan Rizal berkata, Pemuda UMNO Kedah percaya perubahan trend itu berlaku disebabkan sikap parti kerajaan yang angkuh, tidak bertanggungjawab serta mengecewakan harapan rakyat dengan pelbagai siri penipuan janji-janji PRU14 lalu.

“Walaupun kita menyaksikan kerajaan Pakatan Harapan (PH) menabur pelbagai ‘dedak’ pilihan raya menjangkau puluhan juta ringgit namun tetap tidak menyebelahi PH akibat daripada kondisi politik dan pentadbiran PH yang ‘flip flop’, tidak stabil serta kemerosotan ekonomi,” katanya.

Menurutnya, ini diikuti dengan peningkatan kos sara hidup selain suara anak muda yang dipinggirkan kerajaan PH antara punca perubahan trend keputusan undian anak muda.

“BN juga jangan mudah terpedaya dengan keputusan itu, kita harus ambil iktibar. Sebelum PRU14, BN juga sering menang selesa di PRK namun tewas pada PRU14,” katanya.

Artikel Berkaitan: