Jalinan antarabangsa KV Seri Manjung perkasa TVET

No Image Caption
A
A
A

KOLEJ Vokasional Seri Manjung menjalinkan kerjasama dua hala dengan Institute of Technical Education, Singapura bagi menyokong hasrat kerajaan dalam memperkasakan pendidikan TVET di negara ini.

Ketua Jabatan Perhubungan Kolej Vokasional Seri Manjung, Shahabudin Hassan berkata, beberapa siri program kerjasama dengan institusi dari luar negara lain juga telah dirancang bagi tahun ini untuk mendedahkan pensyarah dan pelajar kepada corak pengurusan, pembelajaran dan teknologi pendidikan vokasional di peringkat antarabangsa.

"Kita bukan hanya akan memberi tumpuan kepada pengisian dalam setiap kursus, malah akan bergerak ke arah kerjasama menyeluruh yang meliputi bidang Pengurusan, Kurikulum, Ko-Kurikulum , Kesenian serta Inovasi.

"Sebelum ini, kita telah menjalinkan kerjasama dengan sebuah institusi di Jawa Timur melalui kaedah pertukaran guru dan pelajar serta perkongsian pintar," katanya.

Tambah Shahabudin, berbekalkan pengalaman itu, mereka akan mengorak langkah lebih aktif untuk mendekati institusi-institusi dari negara-negara yang maju dalam bidang pendidikan vokasional.

Beliau ditemui ketika majlis penyampaian hadiah perlawanan persahabatan bolasepak di antara Kolej Vokasional Seri Manjung dengan Institute of Technical Education Singapura yang disempurnakan Ketua Pegawai Eksekutif Marina Sanctuary Resort, Ding Mei Looi yang merupakan salah satu penaja korporat kolej teknikal tersebut.

Perlawanan tersebut berkesudahan dengan kemenangan 2-1 yang berpihak kepada Kolej Vokasional Seri Manjung.

Artikel Berkaitan: