Kontraktor ditemui mati atas tangki

Anggota bomba ketika menurunkan mangsa dari bahagian atas tangki berkenaan.
Anggota bomba ketika menurunkan mangsa dari bahagian atas tangki berkenaan.
A
A
A

PASIR GUDANG - Seorang kontraktor pemeriksaan ditemui maut dipercayai ketika sedang melakukan kerja-kerja pemeriksaan di sebuah kilang memproses minyak sawit di Jalan Nibong 5, Tanjung Langsat di sini hari ini.

Difahamkan mangsa yang juga lelaki berusia 41 tahun itu ditemui pasukan penyelamat di bahagian atas salah satu tangki di kawasan kilang berkenaan.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Gudang, Timbalan Penguasa Bomba Ibrahim Omar berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira jam 9.11 pagi.

“Setibanya di lokasi kejadian, bomba dapati mangsa tidak sedarkan diri di atas sebuah tangki di kilang itu.

“Mangsa kemudiannya disahkan meninggal dunia oleh pegawai kesihatan sebelum dibawa turun dari tangki berkenaan dan diserahkan kepada pihak polis,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Ibrahim berkata, operasi berkenaan melibatkan seramai sembilan anggota bersama sebuah jentera menyelamat dan sebuah van Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).

“Kami terpaksa menggunakan kren untuk membawa pengusung dan membawa turun mangsa.

“Proses menyelamatkan mangsa mengambil masa kira-kita 30 minit kerana ia perlu dilakukan dengan berhati-hati bagi mengelak kejadian tidak diingini,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, berdasarkan maklumat, mangsa telah ditugaskan untuk membuat pemeriksaan tangki berkenaan sejak malam tadi.

“Keadaan kemudiannya menimbulkan tanda tanya apabila salah seorang rakan mangsa mendapati mangsa masih berada di atas tangki terbabit sehingga pagi tadi,” katanya.

Katanya, operasi ditamatkan sepenuhnya kira-kira jam 10.58 pagi.