Label 'Tiada Minyak Sawit' menyalahi undang-undang - MPOC

Minyak sawit adalah bahan serba guna yang boleh dipakai secara meluas dalam pelbagai industri seperti sektor makanan, oleokimia dan biobahan api.
Minyak sawit adalah bahan serba guna yang boleh dipakai secara meluas dalam pelbagai industri seperti sektor makanan, oleokimia dan biobahan api.
A
A
A

MAJLIS Minyak Sawit Malaysia (MPOC) menggesa peruncit untuk membuang semua produk dan bahan pengiklanan yang dipamerkan serta jualan yang mempunyai logo diskriminasi terhadap minyak sawit dari premis mereka.

Jika gagal berbuat demikian, mereka boleh dikenakan denda sebanyak RM250,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun, kata MPOC dalam satu kenyataan pada Isnin.

Peraturan-peraturan di bawah Seksyen 69 Akta Perihal Dagangan 2011 melarang mana-mana orang dalam apa sahaja perniagaan atau perdagangan, atau dalam apa-apa iklan, untuk menggunakan apa-apa pernyataan, ungkapan serta petunjuk yang mendiskriminasi atau memboikot produk minyak sawit.

Peraturan itu berkuat kuasa pada Mac 2022 dan selepas setahun tempoh tangguh, penguatkuasaannya kini dimulakan sepenuhnya.

"Kedai runcit yang mempamerkan dan menjual produk yang dilabel sebagai 'Tiada Minyak Sawit' (NPO) akan berdepan hukuman jika didapati bersalah oleh pegawai penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

"Dalam kaji selidik yang dijalankan oleh MPOC, ada 80 cawangan di Lembah Klang yang menjual produk ini, khususnya di kawasan berstatus elit.

"Surat telah dihantar kepada lapan syarikat induk daripada 80 cawangan tersebut untuk menarik perhatian mereka dan menggesa mereka mengambil tindakan segera bagi mematuhi peraturan," katanya.

Menurut MPOC, label NPO mungkin wujud dalam banyak dakwaan lain seperti 'Bebas Minyak Sawit', 'Tanpa Minyak Sawit', 'Tiada Lemak Sawit', 'Tidak Kepada Minyak Sawit' dan lain-lain, dalam bahasa Inggeris atau dalam bahasa asing.

Tinjauan yang sama juga mendapati ia juga terpapar dalam pelbagai bentuk logo, menggambarkan orang utan atau meletakkan garis condong atau tanda silang pada gambar kelapa sawit.

Ketua Pegawai Eksekutif MPOC, Belvinder Sron berkata, minyak sawit merupakan komoditi nombor satu negara termasuk memainkan peranan penting dalam ekonomi kita dan ia perlu dilindungi sebaik mungkin.

Selain itu, minyak sawit adalah bahan serba guna yang boleh dipakai secara meluas dalam pelbagai industri seperti sektor makanan, oleokimia dan biobahan api.

"Walaupun penting untuk menggalakkan amalan mampan dan bertanggungjawab dalam industri minyak sawit, adalah sama mustahak bagi mengelak daripada mewujudkan naratif prejudis terhadap komoditi ini secara keseluruhan.

"Sekiranya semua usaha anti minyak sawit di negara ini tidak ditangani, produk berasaskan sawit akan terus dinafikan dan diboikot di pasaran dunia," katanya. - Bernama