Korea Utara tayang kekuatan tentera

Jong-un (tengah) bergambar bersama tentera udara ketika latihan di sebuah lokasi rahsia.
Jong-un (tengah) bergambar bersama tentera udara ketika latihan di sebuah lokasi rahsia.
A
A
A

SEOUL - Pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un berikrar untuk membina 'tentera yang tidak dapat dikalahkan' ketika beliau menyelia latihan payung terjun pasukan penembak tepat di bawah langkah provokasi terbaharu Pyongyang.

Laporan hari ini dikeluarkan Korean Central News Agency (KCNA) itu dibuat beberapa jam selepas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menerusi Twitter menggesa Jong-un supaya 'bertindak segera, capai perjanjian, jumpa anda tidak lama lagi' seolah-olah membayangkan satu lagi sidang kemuncak.

Sebelum ini, Pyongyang membuat publisiti tentang dua latihan ketenteraan yang dilakukan mereka dalam tempoh tiga hari.

KCNA melaporkan Jong-un turut mengarahkan juruterbang tempur supaya sentiasa siap siaga.

"Latihan ketenteraan perlu dibuat di bawah situasi perang sebenar untuk meningkatkan kesediaan supaya tentera sukar dikalahkan," lapor agensi itu lagi.

Bagaimanapun, difahamkan, Jong-un tidak mengeluarkan sebarang kenyataan tentang Washington atau Seoul yang bertindak menangguhkan latihan ketenteraan bersama sebagai 'langkah muhibah' kepada Pyongyang.

Sejak beberapa bulan lalu, Korea Utara meningkatkan ujian misil dan demonstrasi tentera lain sebagai taktik untuk meningkatkan tekanan terhadap rundingan nuklear yang masih gagal mencapai sebarang kata putus dengan AS.

Rundingan tersebut tergendala sejak sidang kemuncak terakhir antara kedua-dua pemimpin terbabit di Vietnam pada Februari lalu selepas Washington menolak tuntutan Pyongyang untuk menarik semula sekatan sebagai pertukaran dengan penyerahan separa keupayaan nuklear milik mereka.

Artikel Berkaitan:

Jong-un bertindak mengeluarkan tarikh akhir pada hujung 2019 kepada pentadbiran Trump untuk menawarkan perjanjian dengan syarat yang boleh diterima bersama selain memberi amaran ia akan mencari 'jalan baharu' jika AS terus berkeras untuk meneruskan sekatan terbabit. - Agensi