Sila log masuk terlebih dahulu.

Badminton dan badmintasi

A
A
A

'BADMINTASI' ialah perkataan sinis yang tertulis pada satu sepanduk yang mengalu-alukan pasukan Piala Thomas Malaysia di Lapangan Terbang Antarabangsa Subang (kini sudah tiada lagi) dari Jakarta pada tahun 1967. Malaysia pulang tanpa piala itu selepas permainan diberhentikan ketika Malaysia mendahului Indonesia 4-3 dari sembilan perlawanan.

Untuk sekian lama sejak tahun 1949, format Piala Thomas berupa 9 perlawanan: lima perseorangan dan empat beregu. Malam pertama, dua perseorangan dan dua beregu. Malam kedua, tiga perseorangan dan dua beregu. Dalam perlawanan akhir 1967 itu, Malaysia beranjak ke empat kemenangan apabila Tan Aik Huang mengalahkan Ferry Sonneveil. Indonesia pula menambah satu lagi selepas Rudy Hartono tewaskan Yew Cheng Hoe.

Dengan 4-3 itu, Malaysia memerlukan satu lagi. Ng Boon Bee dan Tan Yee Khan, Juara bergu All-England 1966 dari Malaysia, dianggap akan menang senang ke atas beregu Indonesia. Begitulah keadaannya apabila ‘game’ pertama selesai. Dalam game kedua, apabila mereka mencecah 10 mata, ertinya lima mata lagi Malaysia akan jadi juara, mulalah penonton memekik melolong mengacau beregu Malaysia, terutama apabila mereka hendak serve.

Jelas sekali adegan hodoh itu ulangan adegan yang serupa tiga tahun sebelumnya apabila penonton Indonesia mengganggu pemain-pemain Denmark dalam perlawanan akhir di Tokyo. Mereka bukan saja memekik melolong, malah mengambil gambar ‘flash’ apabila pemain Denmark hendak serve. Akibatnya Denmark tersekat setelah mendahului 4-1 dan akhirnya kalah 4-5 kepada Indonesia.

Di Jakarta 1967 itu, kamera ‘flash’ dilarang pakai, namun pekik lolong tidak dapat ditahan. Akibat gangguan yang tidak kepalang, Boon Bee-Yee Khan gagal mendapat kemenangan ke lima. Dengan tergantungnya di 4-3, Herbert Scheele, Setiausaha IBF (Persekutuan Badminton Antarabangsa) yang turut hadir, telah menggantungkan kejuaraan itu. (Kemudiannya, Malaysia diisytiharkan juara oleh IBF)

Kepulangan pasukan Malaysia esoknya dialu-alukan dengan penuh kebanggaan. Antaranya terdapat sepanduk ‘BADMINTASI’ itu. Sebenarnya sinisme ‘badmintasi’ itu datangnya daripada ‘konfrontasi’, satu ancaman Indonesia terhadap penubuhan Malaysia pada tahun 1963 yang berakhir di hujung 1965. Gamat sekali ancaman itu. Laungan ‘konfrontasi’ sentiasa terdengar di Radio Republik Indonesia (RRI); Radio dan TV Malaysia serta di muka akhbar. Orang bandar dan orang kampung akhirnya mudah saja menyebut ‘konfrontasi’, sehinggakan apabila ada pertelingkahan dalam masyarakat dan suami isteri, ‘konfrontasi'lah yang dipakai.

Sesudah memperkatakan itu semua, saya mengerut kening kerana kagum juara-juara badminton kini sudah banyak bertaraf kaya dan jutawan. Lee Chong Wei bersaku puluhan juta ringgit. Ada rumah besar- tersergam dan kereta-kereta mewah. Pemain pertama menjadi jutawan nilai dolar AS ialah Morten Frost dari Denmark, bekas juara dunia dan juara Seluruh England, dua kali pula menjadi ketua jurulatih Malaysia.

Pastinya, untuk mengaup juta-juta, wang sayugia datang dari ‘endorsements’ iklan barang-barangan buatan firma-firma besar. Ini kerana wang hadiah amat jarang sekali melebihi AS$100,000 atau RM415,000. Samalah halnya pada awal kejuaraan tenis profesional pada akhir 1960-an dan awal 1970-an. Kini di kejuaraan besar Australia, Perancis, Wimbledon dan AS, johan menerima lebih AS$2 juta atau lebih RM8.3 juta.

Artikel Berkaitan:

Menoleh kembali, jika AS menjuarai Piala Thomas tahun 1949, kemungkinan besar badminton cepat menjadi sukan besar yang berhadiah besar juga. Ini kerana AS hanya menjadi ghairah jika ia menjadi juara sesuatu sukan. Pada tahun itu Dr Dave Freeman dari AS ialah pemain terbaik dunia. Beliau menewaskan pemain agung Malaya Wong Peng Soon dengan ‘straight set’, tidak lebih lima mata, dalam All-England dan Piala Thomas 1949, walaupun Malaya akhirnya menjadi juara yang pertama.

Soalannya kini ialah: Siapakah selepas Chong Wei? Tunggu 10 tahun lagi. Itulah soalan dan jawapan ketika Wong Peng Soon dan Eddy Choong berlalu dalam 1950-an; Tan Aik Huang dan Boon Bee-Yee Khan, 1960-an; Rashid Sidek dan Razif-Jailani Sidek, 1990-an.

‘Terbuku di kalbu’ kita ialah tersendalnya Chong Wei sebanyak tiga kali sebagai pemenang pingat perak di Olimpik. V Shem dan Wee Kiong pula setelah mengalahkan beregu China di peringkat grup, kalah pula kepada mereka dalam perlawanan akhir di Olimpik 2016. ‘Perak’lah juga jawabnya. Adakah nasib Malaysia ibarat ungkapan Shakespeare dalam drama ‘Romeo and Juliet’: Sungguh dekat tetapi amat jauh!